Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin, Ihsan Pusat Da'wah Islamiah
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 20 Ogos. - Dalam beberapa hari sahaja lagi, masyarakat Islam di negara ini khususnya dan umat Islam di seluruh dunia amnya akan menyambut Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.
Di Negara Brunei Darussalam (NBD) yang majoriti penduduknya beragama Islam, seperti lazimnya, Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam diadakan secara besar-besaran sebagai salah satu usaha untuk memperkembangkan dan menyemarakkan lagi syiar Islam di negara ini, di samping memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang disambut pada setiap 12 Rabiulawal Tahun Hijrah.
Sehubungan itu, pada tahun ini Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448H akan diadakan secara serentak di keempat-empat daerah, dengan tumpuan utama di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara, pada Selasa, 12 Rabiulawal 1448H bersamaan 25 Ogos 2026M, bermula pada pukul 7.00 pagi dengan perhimpunan dan perarakan.
Sebagai persediaan bagi memastikan kelancaran acara kemuncak Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448H, latihan penuh bagi Daerah Brunei dan Muara diadakan pagi tadi bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara.
Hadir sama bagi menyaksikan latihan penuh pagi tadi, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H; Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; dan Menteri di JPM (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah.
Turut hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap daripada pengendali-pengendali bersama, serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang lain.
Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448H dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU); JPM; Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI); serta Dewan Perusahaan dan Perniagaan Melayu Brunei.
Tema bagi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448H ialah ‘Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Akidah’.