Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin
Foto : Azmah Haji Ahad
BERAKAS, Isnin, 21 September. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Bahagian Komunikasi Strategik mengadakan Program Sivik Negara Brunei Darussalam Kali Kedua bagi Tahun 2025/2026 selama lima hari bermula hari ini.
Majlis pembukaan program berkenaan berlangsung pada pagi tadi, bertempat di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan, Berakas, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini.
Pada majlis tersebut, tetamu kehormat turut menyampaikan ucapan alu-aluan yang antara lain menyentuh mengenai kepentingan Program Sivik yang kini genap 50 tahun pelaksanaannya.
Beliau menjelaskan bahawa pencapaian tersebut merupakan satu detik yang bermakna bagi Jabatan Penerangan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1976, tambahnya, Program Sivik terus dilaksanakan dengan pengisian yang sentiasa disesuaikan mengikut keperluan dan perkembangan semasa.
Walaupun pendekatan serta pengisiannya berubah dari semasa ke semasa, matlamat utama program kekal, iaitu untuk memupuk semangat kenegaraan, jati diri serta rasa tanggungjawab terhadap negara dalam kalangan generasi muda, terangnya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa sepanjang lima hari program berlangsung, para peserta akan mengikuti pelbagai pengisian yang merangkumi tema ‘Pembanguan Jati Diri’, ‘Akhlak & Usahawan’, ‘Kerjaya & Ekonomi’, serta ‘Awareness, Sesi Perkongsian & Hubungan Masyarakat’.
Pengisian yang disusun diharap dapat memberikan pendedahan yang lebih menyeluruh kepada para peserta, bukan sahaja mengenai peranan dan tanggungjawab mereka sebagai rakyat, malah turut membantu mempersiapkan diri dalam menghadapi cabaran serta memanfaatkan peluang pada masa hadapan, ujarnya.
Program berkenaan disertai oleh seramai 20 orang peserta, yang terdiri daripada lepasan ijazah dan mahasiswa/mahasiswi dari Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta mahasiswa-mahasiswi dari institut pengajian tempatan dan yang menjalani penempatan kerja di jabatan ini.
Sepanjang program ini diadakan, para peserta akan didedahkan kepada beberapa siri taklimat dan lawatan sambil belajar ke beberapa agensi kerajaan dan swasta.
Selain itu, peserta juga akan terlibat dalam aktiviti bersama masyarakat kampung.
Antara objektif program ini diadakan ialah untuk memberi kefahaman dan maklumat terkini kepada masyarakat mengenai hal ehwal negara dan kerajaan, memastikan rakyat sentiasa peka terhadap perkembangan semasa; memupuk dan menanam semangat kenegaraan yang berasaskan falsafah konsep MIB, dengan menekankan nilai-nilai budaya, agama, dan kedaulatan yang menjadi asas identiti negara.