Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Azmah Haji Ahad
TUNGKU LINK, Khamis, 5 November. - Memperkukuh profesionalisme guru berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah merupakan asas penting dalam memastikan guru berperanan dengan berkesan sebagai peneraju pendidikan yang dinamik serta memimpin perubahan.
Dalam hal ini, guru bertanggungjawab memastikan kesahihan ilmu yang diajarkan, menunjukkan teladan yang baik serta membimbing pelajar memahami hujah dan mengamalkan ilmu dalam ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata’ala.
Perkara tersebut ditekankan oleh Penolong Ra’es II (Hal Ehwal Akademik), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Dayang Norasimah binti Haji Omar, ketika menyampaikan syarahan plenari bertajuk ‘Strengthening Teacher Professionalism Grounded in Al-Quran and Al-Hadith: Leading a Dynamic Future Education’ pada hari kedua Persidangan Hari Guru sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Ke-36, Tahun 2026.
Hadir selaku tetamu kehormat pada persidangan yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Dr. Dayang Norasimah menjelaskan, pembaharuan pendidikan untuk menghadapi masa hadapan yang dinamik menuntut keselarasan antara matlamat pendidikan, kompetensi guru dan amalan pengajaran.
Menurutnya, guru perlu menguasai ilmu, memahami keperluan pelajar dan membuat keputusan yang tepat.
Tuntutan ini juga merangkumi tanggungjawab membina iman, akhlak dan keupayaan pelajar mengamalkan ilmu.
Terdahulu, beliau berkata, dari perspektif Islam, usaha memperbaharui pendekatan pendidikan dan memperkukuh profesionalisme guru berpaksikan nilai keadilan serta berteraskan matlamat pembentukan insan yang seimbang dari segi rohani, akal, emosi dan jasmani.
Jelasnya, usaha ini merangkumi pengukuhan peranan guru sebagai pendidik dan pembimbing akhlak, penyepaduan ilmu naqli dan aqli serta pemanfaatan teknologi secara beretika dan berhemah.
Selaras dengan matlamat tersebut, tambahnya, pembentukan pendidik yang ‘rabbani’ menjadi asas penting dalam pendidikan Islam.
Persidangan diteruskan dengan Majlis Penyampaian Sijil Akreditasi dan Penghargaan kepada peserta Program Bimbingan Literasi dan Numerasi (Literacy and Numeracy Coaching Programme - LNCP 2.0) Kohort 10, 11 dan 12, selain penyampaian sijil penghargaan kepada Associate Facilitators (AF) dan Competency Trainers daripada Unit Tenaga Pengajar, Brunei Darussalam Leadership and Teacher Academy (BDLTA).
Seramai 1,200 peserta dan tetamu mengambil bahagian dalam persidangan tersebut terdiri daripada pendidik, pemimpin sekolah kerajaan dan swasta serta wakil institusi pengajian tinggi.
Ia diadakan selama dua hari, bermula kelmarin.
Bertemakan ‘Menjana Semula Pendidikan untuk Masa Depan yang Dinamik’, persidangan berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Pengurusan Pendidik, dengan kerjasama Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (IPSHB) dan KUPU SB.