PM Malaysia berlepas meninggalkan NBD

23 Og 2026 - 8:46am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, Sabtu, 22 Ogos. - Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato Laila Utama Dato' Seri Anwar Ibrahim, dan isteri, Yang Amat Berbahagia Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail serta rombongan berlepas meninggalkan Negara Brunei Darussalam (NBD) setelah menghadiri Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan Kali Ke-27 antara NBD dan Malaysia.

Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Menteri Pengiring serta isteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof serta isteri.

Juga hadir, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin; dan Setiausaha-setiausaha Tetap dari JPM dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (KHELN).

Terdahulu, Yang Amat Berhormat Dato Laila Utama Dato' Seri Anwar Ibrahim telah mengadap Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman sebelum menghadiri Majlis Perjumpaan Empat Mata dan seterusnya menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU).