Penutupan sementara beberapa jalan susur sempena Pesta Perayaan Pekan Tutong 2026

1 Og 2026 - 7:56am

Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Daerah Tutong

 

TUTONG, Jumaat, 31 Julai. - Jabatan Daerah Tutong memaklumkan kepada orang ramai, khususnya pengunjung Pesta Perayaan Pekan Tutong 2026 sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun, mengenai penutupan sementara beberapa jalan susur di sekitar Kawasan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong pada Sabtu, 1 Ogos 2026.

Penutupan sementara jalan akan dilaksanakan seperti berikut iaitu bermula 5.00 petang hingga selesai pertunjukan bunga api iaitu jalan susur dari Lebuhraya Muara-Tutong (hala Belait) menuju Pusing Keliling berdekatan Hua Ho Petani Mall; jalan susur dari Pusing Keliling berdekatan Hua Ho Petani Mall menuju Lebuhraya Muara-Tutong (hala Belait); jalan susur dari Pusing Keliling berdekatan Perpustakaan Daerah Tutong hingga simpang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong.

 

Sementara itu, bermula 8.00 malam hingga selesai perarakan, beberapa jalan ditutup iaitu jalan susur dari Jalan Pengiran Ahmad bermula dari simpang berdekatan bangunan UNN hingga ke simpang Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Daerah Tutong; jalan susur dari simpang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong menghala ke Pusing Keliling berdekatan Perpustakaan Daerah Tutong.

Penutupan sementara jalan-jalan susur tersebut adalah bagi memastikan kelancaran penganjuran acara. Semua laluan yang terlibat akan dibuka semula sebaik sahaja pertunjukan bunga api dan acara berkaitan selesai.

Sehubungan itu, Jabatan Daerah Tutong menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi papan tanda keselamatan dan arahan lalu lintas yang disediakan di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan dan mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.