Oleh : Khartini Hamir
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
KOTA BATU, Rabu, 30 September. - Pameran jelajah Yayasan Jepun, ‘OMOCHA: Japanese Toys Today’, kini membuka ruang kepada orang ramai di negara ini untuk mengenali dengan lebih dekat keunikan serta kepelbagaian budaya permainan Jepun, daripada permainan tradisional hingga permainan moden.
Majlis pembukaan pameran tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, selaku tetamu kehormat, bersama Kuasa Usaha Sementara Jepun ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Miura Keiko.
Pameran tersebut dianjurkan bersama oleh Kedutaan Jepun, Yayasan Jepun dan Muzium Teknologi Melayu (MTM), dan dibukakan kepada orang ramai dari 1 hingga 18 Oktober bertempat di MTM, Kota Batu.
Pameran berbentuk pendidikan tersebut bertujuan untuk memperkenalkan keunikan budaya permainan tradisional dan moden Jepun kepada para pengunjung di NBD.
Ia merupakan pameran jelajah antarabangsa berskala penuh yang pertama, khusus memfokuskan kepada permainan moden Jepun dan direalisasikan melalui kerjasama pengeluar permainan terkemuka serta para penyelidik budaya dari Jepun.
Selain mempamerkan lebih daripada 70 permainan, pameran tersebut turut mengetengahkan video-video yang membolehkan para pengunjung mengetahui dengan lebih dekat mengenai permainan Jepun yang berakar umbi daripada sejarah dan latar belakang budaya negara berkenaan.
Permainan tersebut bukan sahaja menjadi alat untuk bermain, malah mencerminkan kreativiti dan kekayaan kerohanian yang mendalam.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk menggalakkan pendidikan dan persefahaman silang budaya dalam kalangan generasi muda di NBD, di samping memberikan peluang berharga kepada para kakitangan MTM untuk memperoleh pengalaman dalam bidang kuratorial melalui koleksi yang jarang ditemui.
Kemasukan adalah percuma bagi penduduk NBD.