NBD manfaat platform pelancongan Jepun promosikan VBY 2027

23 Sep 2026 - 4:14am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kemajuan Pelancongan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 22 September. - Negara Brunei Darussalam (NBD) akan menyertai Tourism EXPO Japan 2026 yang berlangsung pada 24 hingga 27 September 2026 di Tokyo Big Sight, Tokyo, Jepun, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh kesedaran terhadap NBD sebagai destinasi pelancongan dalam pasaran Jepun serta mempromosi Tahun Melawat Brunei 2027 (Visit Brunei Year 2027-VBY 2027).

Penyertaan NBD akan diwakili oleh wakil pemasaran yang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), dengan World Compass Co., Ltd. selaku Pejabat Jepun yang dilantik oleh jabatan berkenaan.

Pameran pelancongan antarabangsa selama empat hari berkenaan menyediakan platform bagi NBD untuk memperkukuh kehadirannya dalam pasaran Jepun serta mempromosi VBY 2027 kepada golongan profesional industri pelancongan dan orang ramai.

Dengan sokongan Royal Brunei Airlines (RB), syarikat penerbangan kebangsaan dan VBY 2027 Official Airline Partner, serta penyertaan pengusaha pelancongan tempatan, iaitu Freme Travel Services Sdn. Bhd., reruai NBD akan mengetengahkan alam semula jadi, warisan budaya dan pengalaman pelancongan negara, dengan memberi tumpuan kepada aspek alam semula jadi, pengembaraan, kebudayaan dan riadah.

Pasaran Jepun terus menjadi antara pasaran penting bagi NBD. Pada 2025, seramai 13,200 pelancong dari Jepun direkodkan berkunjung ke NBD, manakala sebanyak 8,924 ketibaan direkodkan sehingga Julai 2026.

Penyertaan berterusan dalam platform pelancongan utama seperti Tourism EXPO Japan dijangka dapat meningkatkan keterlihatan NBD dalam pasaran Jepun, memperkukuh hubungan dengan pihak industri pelancongan Jepun serta menyumbang kepada pertumbuhan jumlah ketibaan pelancong dari Jepun.

Sepanjang Trade Days pada 24 dan 25 September 2026, delegasi NBD akan mengadakan sesi pertemuan perniagaan secara satu dengan satu (Business-to-Business - B2B) bersama ejen pelancongan, pengusaha pelancongan, syarikat penerbangan serta pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan.

Sesi berkenaan akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan industri, membangunkan produk pelancongan baharu serta mengenal pasti peluang bagi menggalakkan peningkatan aliran pelawat dari Jepun dan pasaran antarabangsa yang lain.

Sementara itu, Hari Terbuka kepada orang ramai pada 26 dan 27 September 2026 akan memberikan peluang kepada para pengunjung untuk mengenali NBD menerusi buku panduan khas, pameran kebudayaan tradisional serta ruang pengalaman interaktif.

Para pengunjung juga berpeluang mendapatkan maklumat mengenai jaringan penerbangan, tempat-tempat tarikan yang disyorkan serta pelbagai pengalaman pelancongan yang boleh dinikmati di NBD.

Penyertaan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh NBD untuk memperkukuh hubungan dengan pihak industri pelancongan dan pasaran pengguna Jepun, memperluas peluang dalam pembangunan produk pelancongan serta mengetengahkan NBD sebagai destinasi menarik bagi pengalaman berteraskan alam semula jadi, kebudayaan, pengembaraan dan riadah.

Penyertaan berkenaan turut menyokong persiapan bagi VBY 2027 serta Sambutan Jubli Intan 60 tahun pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai dan para profesional industri pelancongan yang menghadiri Tourism EXPO Japan 2026 adalah dialu-alukan untuk mengunjungi reruai pelancongan NBD dari 24 hingga 27 September 2026 bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai tawaran pelancongan NBD, mendapatkan maklumat mengenai VBY 2027 serta meneroka peluang untuk merasai sendiri pengalaman di NBD, Negara Zikir yang aman dan damai.