Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat bersama Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato Laila Utama Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Majlis Perjumpaan Empat Mata.
Pada Majlis Perjumpaan Empat Mata berkenaan, kedua-dua pemimpin membincangkan beberapa sektor utama untuk memperkukuh lagi kerjasama strategik dan dua hala, serta meningkatkan integrasi ekonomi, di samping meneroka peluang kerjasama baharu yang akan memberi manfaat bersama kepada kedua-dua buah negara.
Kedua-dua pemimpin juga menegaskan semula komitmen mereka untuk mengadakan rundingan secara berkala bagi memajukan inisiatif-inisiatif ini.
Semasa perjumpaan tersebut, kedua-dua pemimpin juga menyambut baik pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam pengurusan bencana bagi meningkatkan keupayaan tindak balas kecemasan bersama.