Memperkukuh penglibatan pelancongan Timur Tengah

23 Sep 2026 - 4:35am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kemajuan Pelancongan

DUBAI, Selasa, 22 September. - Negara Brunei Darussalam (NBD) sekali lagi mengambil bahagian dalam Arabian Travel Market (ATM) 2026 buat kali kedua, yang diadakan bermula 14 hingga 17 September 2026 di Dubai World Trade Centre.

Delegasi NBD diketuai oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan di bawah Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), bersama syarikat penerbangan kebangsaan, Royal Brunei Airlines serta agensi pelancongan tempatan, AZ Back to Nature.

Penyertaan semula NBD dalam ATM mencerminkan komitmen negara dalam memperluaskan akses pasaran dan memperkukuh hubungan industri di rantau Timur Tengah. Pada tahun 2025, NBD merekodkan kira-kira 1,532 ketibaan pelancong melalui udara dari Timur Tengah, yang menunjukkan potensi rantau tersebut sebagai pasaran sumber bagi pertumbuhan selanjutnya.

Penyertaan di ATM menyediakan platform bagi delegasi untuk berinteraksi dengan ejen pelancongan, pengendali pelancongan, syarikat penerbangan serta pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan dari seluruh rantau tersebut dan pasaran antarabangsa lain.

Ia juga membuka peluang untuk meningkatkan kesedaran mengenai NBD serta menarik lebih ramai pelawat dari Timur Tengah. Ekspo berkenaan turut menyokong usaha untuk menampilkan NBD sebagai destinasi tunggal serta sebahagian daripada perjalanan pelancongan pelbagai destinasi.

Sepanjang ATM 2026, NBD mengetengahkan tawaran pelancongan yang merangkumi aspek alam semula jadi, pengembaraan, kebudayaan dan pelancongan Islam, termasuk pengalaman seperti menyelam, pemerhatian burung, aktiviti pengembaraan serta tarikan kebudayaan.

Promosi tersebut menyasarkan pelancong yang ingin menjadikan NBD sebagai destinasi utama, di samping mereka yang berminat untuk menggabungkan NBD dalam perjalanan pelbagai destinasi, termasuk gabungan dengan destinasi-destinasi berdekatan di Borneo dan pasaran serantau yang lain.

Delegasi turut mengadakan beberapa siri pertemuan Business-to-Business (B2B) bersama wakil-wakil industri pelancongan dari Timur Tengah dan pasaran antarabangsa yang lain.

Sesi-sesi tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan hubungan pasaran, mengenal pasti peluang bagi pembangunan pakej pelancongan baharu, memperkukuh saluran pengedaran serta menggalakkan rakan niaga pelancongan untuk memasukkan NBD dalam jadual perjalanan mereka.

Penyertaan tersebut turut menjadi platform penting bagi mempromosikan Tahun Melawat Brunei 2027 (VBY 2027), dengan memberikan pengenalan awal kepada rakan-rakan industri dan perdagangan pelancongan antarabangsa mengenai kempen tersebut serta tawaran pelancongannya.

Menjelang VBY 2027, Jabatan Kemajuan Pelancongan meneruskan usaha pemasaran antarabangsa yang disasarkan serta penglibatan industri bagi meningkatkan kesedaran, memperkukuh rangkaian pengedaran dan menggalakkan rakan niaga pelancongan untuk membangunkan serta mempromosikan pakej-pakej pelancongan NBD.

Usaha tersebut turut merangkumi kerjasama berterusan dengan CNN dan platform media antarabangsa serta digital lain yang berkaitan bagi meningkatkan kesedaran mengenai tawaran pelancongan NBD dan menyokong promosi VBY 2027.

Usaha-usaha ini, beserta penglibatan B2B dan aktiviti pembangunan pasaran, menyokong matlamat lebih luas NBD untuk memperkukuh kedudukannya dalam jadual perjalanan pelancongan serantau dan antarabangsa. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tawaran pelancongan NBD, sila layari www.bruneitourism.com atau ikuti @brunei.tourism di media sosial.