Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 26 Julai. - Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) baru-baru ini telah dijemput untuk menyampaikan taklimat bertajuk 'Penipuan Dalam Talian' bagi meningkatkan kesedaran mengenai ancaman penipuan digital dan memperkukuh literasi keselamatan siber dalam kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan.
Taklimat disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Jurukira Agung, Pengiran Hajah Normaswati binti Pengiran Anak Haji Mashor.
Turut hadir, Pemangku Timbalan Jurukira Agung, Dayang Hajah Salawati binti Haji Puasa, bersama pegawai-pegawai dan kakitangan dari Kementerian Kewangan serta jabatan-jabatan di bawahnya.
Peserta didedahkan mengenai taktik yang sering digunakan oleh sindiket penipuan dalam talian, termasuk manipulasi psikologi dan rekayasa sosial (social engineering) bagi menimbulkan rasa panik dalam kalangan mangsa, serta penyamaran identiti melalui akaun palsu yang menyerupai agensi kerajaan atau individu yang dikenali.
Langkah pencegahan turut dikongsikan, termasuk mengamalkan Dasar Sifar Urus Niaga Kewangan, iaitu tidak melakukan transaksi atau berkongsi maklumat perbankan seperti kod One Time Password (OTP) melalui media sosial atau panggilan yang meragukan.
Orang ramai diingatkan bahawa Pusat Anti-Penipuan tidak mengendalikan urusan rasmi atau mempunyai akaun di mana-mana platform media sosial.
Orang ramai disarankan mengamalkan prinsip 'Skeptikal Secara Sihat' (Healthy Skepticism) dengan sentiasa berwaspada terhadap panggilan atau mesej yang mencurigakan, tidak mengikut arahan pihak yang tidak dikenali, serta membuat pengesahan melalui saluran rasmi.
Sebarang kejadian penipuan boleh dilaporkan kepada Talian Bantu Anti-Penipuan 16993.
Menerusi taklimat berkenaan, kesedaran masyarakat terhadap ancaman penipuan dalam talian diharap terus dipertingkatkan bagi melindungi aset kewangan dan maklumat peribadi daripada menjadi mangsa jenayah siber.