Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Selasa, 21 Julai. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Negara Brunei Darussalam (NBD) berkenan berangkat bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN Ke-59, Post-Ministerial Conferences and Related Meetings yang diadakan pada 20 hingga 23 Julai 2026, di Manila, Republik Filipina.
Pada sebelah pagi, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen berkenan berangkat menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN Ke-59 yang disempurnakan oleh Setiausaha Hal Ehwal Luar Negeri Republik Filipina, Puan Yang Terutama Ma. Theresa P. Lazaro, yang berlangsung di Philippine International Convention Center.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berangkat menyertai Sesi Plenari dan Retreat Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN. Para menteri bertukar - tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa serta membincangkan pelbagai perkara, termasuk Pembinaan Komuniti ASEAN dan hubungan luar.
Semasa Sesi Plenari, DYTM bersabda menekankan kepentingan menegakkan aturan antarabangsa berasaskan peraturan serta memastikan agar keperluan dan kepentingan ASEAN terus menjadi tumpuan utama dalam kerjasamanya.
Dalam hubungan ini, DYTM dalam sabda menekankan kepentingan menggalakkan lebih banyak negara untuk menyertai Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia (TAC) bagi memperkukuh keamanan, kestabilan dan kerjasama serantau.
DYTM seterusnya bersabda menegaskan keperluan untuk mempertingkatkan usaha bersama dalam menangani cabaran, khususnya perubahan iklim, dengan menekankan peranan ASEAN Centre for Climate Change di NBD dalam menyelaras usaha serantau bagi menangani perubahan iklim.
Semasa Sesi Retreat, para menteri bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk situasi di Timur Tengah yang memberikan kesan yang meluas terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat di rantau Asia Tenggara.
DYTM ketika mengurniakan sabda juga menekankan kepentingan mengekalkan saluran komunikasi yang terbuka serta menggesa semua pihak agar mengamalkan sikap menahan diri dan menyelesaikan sebarang perbezaan secara aman selaras dengan undang-undang antarabangsa.
DYTM bersama Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN yang lain, semasa Sesi Extended Informal Consultation, membincangkan perkembangan situasi politik di Republik Kesatuan Myanmar serta usaha untuk memajukan pelaksanaan Five Point Consensus (5PC).
DYTM dalam sabda turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand atas penganjuran mesyuarat tidak rasmi yang baharu diadakan di Bangkok serta menekankan kepentingan proses perdamaian yang inklusif dengan melibatkan semua pihak yang berkepentingan.