Memakmurkan masjid melalui amalan membaca Surah Al-Kahfi

17 Okt 2026 - 6:26am

Siaran Akhbar dan Foto : Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar

 

SUNGAI BESAR, Jumaat, 16 Oktober. - Ahli Jawatankuasa Takmir (AJKT) dan Muslimah Masjid Kampung Sungai Besar merebut manfaat ibadah dengan membaca Surah Al-Kahfi beramai-ramai selepas menunaikan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah di masjid berkenaan, pagi tadi.

Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram dan Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Awang Haji Zaini bin Haji Damit yang selaku Penasihat I, AJKT Masjid Kampung Sungai Besar hadir dan sama-sama menyertai membaca Surah Al-Kahfi berkenaan.

Juga menyertai ibadah yang berlangsung di Masjid Kampung Sungai Besar ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Amir Hisham bin Haji Masri.

Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan berselawat beramai-ramai, diikuti dengan bacaan Surah Al-Kahfi yang dipimpin oleh Awang Abdul Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd. Tamin.

Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Awangku Muhammad Abdul Kahar Asnawi bin Pengiran Haji Ahmad seterusnya membacakan Doa Peliharakan Sultan dan Raja Isteri dan Negara Brunei Darussalam.

Penasihat I, AJKT Masjid Kampung Sungai Besar, Leftenan Kolonel (B) Awang Haji Zaini bin Haji Damit berkata bahawa program berkenaan merupakan salah satu inisiatif AJKT untuk memakmurkan masjid di samping menggalakkan lebih ramai jemaah datang ke masjid.

Selain untuk merebut ganjaran pahala yang berlipat ganda, membaca Surah Al-Kahfi ini juga sangat digalakkan kerana sebagai benteng dan perlindungan daripada fitnah Dajal. Ia juga terdapat pelbagai manfaat dan kelebihan yang bakal diperoleh oleh mereka yang istiqamah membaca surah tersebut, khususnya pada malam atau Jumaat.

Surah Al-Kahfi merupakan surah ke-18 di dalam Kitab Al-Quran yang mengandungi 110 ayat dan tergolong dalam kumpulan Surah Makkiyyah.