Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 21 September. - Makanan tradisi merupakan sebahagian daripada warisan budaya yang mencerminkan identiti dan sejarah sesebuah masyarakat.
Ia bukan sahaja menyajikan hidangan yang lazat, tetapi juga membawa makna budaya, adat resam, dan kisah-kisah yang diwariskan dari satu generasi ke generasi.
Akan tetapi, disebabkan pengaruh makanan moden, makanan tradisi semakin dilupakan dan hampir pupus.
Oleh sebab itu, adalah penting untuk kita memperkenalkan dan memupuk minat anak-anak muda terhadap makanan tradisional supaya ia tidak hilang ditelan zaman.
Cara-cara memperkenalkan makanan tradisi kepada anak-anak muda ialah dengan memupuk kesedaran mereka antaranya, memuatkan pelajaran mengenai makanan tradisi dalam kurikulum sekolah ataupun mengadakan aktiviti ceramah, bengkel memasak dan pameran berkaitan makanan tradisional.
Selain itu, menggalakkan keluarga memasak makanan tradisional bersama anak-anak di rumah atau mengadakan acara keraian budaya yang menampilkan makanan tradisi tempatan.
Bukan itu sahaja, cara lain adalah dengan penggunaan media sosial dan teknologi seperti berkongsi video, resipi, dan kisah tentang makanan tradisional melalui media sosial.
Seterusnya, mewujudkan festival makanan tradisional yang melibatkan pameran dan pertandingan memasak di samping mengalakkan pengusaha muda menghasilkan makanan tradisional sebagai produk tempatan.
Kemudian, dengan penerapan dalam aktiviti sekolah dan komuniti, misalnya, menganjurkan hari makanan tradisional di sekolah-sekolah atau melibatkan generasi muda untuk menyertai lawatan ke tempat pembuatan makanan tradisi tempatan.
Dengan usaha berterusan ini, generasi muda akan lebih menghargai dan berasa bangga terhadap warisan makanan tradisi mereka, sekali gus memastikan ia tidak pupus dan terus berkembang sebagai sebahagian daripada identiti bangsa.