Majlis Kesyukuran semarak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-33

30 Sep 2026 - 7:58am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan AhmadiFoto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANGAR, Selasa, 29 September. - Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Ke-33, Tahun 2026 anjuran Jabatan Perdana Menteri yang telah berlangsung serentak di beberapa buah masjid di seluruh negara hari ini sebagai tanda kesyukuran serta memohon keberkatan dan petunjuk dalam melaksanakan amanah perkhidmatan kepada agama, bangsa dan negara.

Di bumi Permata Hijau, majlis tertumpu di Masjid Utama Mohammad  Salleh, Pekan Bangar, dihadiri oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji  Abdul Rahman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary  bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau; Setiausaha-setiausaha Tetap, Pemangku Pegawai Daerah Temburong dan pegawai-pegawai kanan kerajaan serta warga perkhidmatan awam. 

Pada majlis berkenaan, Doa Khas dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid tersebut, Mohd. Syahmi bin Haji Zaini yang antara lain memohon, "Ya Allah, kami memohon kepada-Mu kebaikan majlis ini Majlis Doa Khas sempena Sambutan HPA Ke-33 Tahun 2026 yang membawa tema 'Keberdayatahanan dan Perpaduan Perkhidmatan Awam Pemangkin Kesejahteraan Negara', keberkatan padanya dari awal, akhir dan selepasnya. Dan kami berlindung dengan-Mu daripada keburukan dan kehebatannya (kemudaratannya) dari awal, akhir dan selepasnya.

"Mohon ya Allah supaya dijadikan semua pegawai-pegawai serta kakitangan kerajaan Negara Brunei Darussalam, orang-orang yang sentiasa taat kepada Allah, taat kepada Rasul dan taat kepada Raja yang memerintah Negara Brunei Darussalam, kuat berusaha, ikhlas lagi jujur. 

"Ya Allah, mohon ditambahkan lagi azam dalam diri mereka untuk terus menabur bakti dan jasa kepada agama, bangsa dan negara pada menunaikan apa jua tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka di bawah pimpinan raja yang dikasihi.

"Lindungilah semua pegawai- pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam dan juga kami, daripada segala keburukan dan keaiban serta perkara-perkara yang Engkau tidak redai.

"Permudahkanlah ya Allah, segala urusan kami dan mereka jua supaya terlaksana dengan sebaik-baik kesudahan dan kami beroleh keberkatan dan keredaan-Mu. Mohon ya Allah, agar segala usaha yang kami jalankan dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam khasnya dan warga dunia amnya," pohon doa kami lagi.

Sambil menadah tangan berdoa, "Ya Allah, janganlah Engkau serahkan diri kami kepada diri kami sendiri walaupun sekelip mata dan perbaikilah bagi kami seluruh urusan kami dengan rahmat-Mu wahai yang Maha Pengasih daripada yang mengasihi. Ya Allah dan apa jua ketetapan yang Engkau takdirkan bagi kami, jadikanlah kesudahannya petunjuk yang baik, wahai Yang Maha Pemurah daripada yang pemurah".

Wahai Tuhan kami, kurniakanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami. Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka.

Terdahulu, jemaah yang hadir mengerjakan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah yang  diimamkan oleh Mohd. Syahmidiikuti membaca Yaa Siin kemudiannya Doa Khas sempena Sambutan HPA kali ini.

Majlis berkenaan turut menjadi ruang untuk warga Perkhidmatan Awam memperbaharui tekad dan semangat dalam memperkukuh perpaduan, meningkatkan keberdayatahanan serta memperkasa penyampaian perkhidmatan demi kesejahteraan negara.