Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Ogos. - Majlis Bercorak Keagamaan bersempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam bagi malam ketiga diteruskan lagi malam ini di Istana Nurul Iman.
Majlis dihadiri pegawai serta kakitangan dari Kementerian Kewangan; Jabatan Pengajian Islam (JPI), Bahagian Sekolah Ugama Daerah Tutong, Persatuan Bank-Bank; Majlis Perundingan Kampung Temburong, Muslimah Masjid dan KBM Masjid Kampung Sungai Besar dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara.
Hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau, Daerah Temburong.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Seterusnya, tazkirah bertajuk 'Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui Doa Memohon Keberkatan Dunia dan Akhirat' yang disampaikan oleh Awang Abdul Khaliq bin Kamree.
Diikuti dengan persembahan Dikir Assalamualaika serta Dikir Asyarakal daripada Kementerian Kewangan; Dikir Khairuman daripada Persatuan Bank-Bank dan MPK Temburong, Dikir Bisyahrin oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara, manakala Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat daripada pegawai JPI Bahagian Sekolah Ugama Daerah Tutong.
Sebagai penutup, majlis disudahi dengan bacaan Doa Dikir dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebagai tanda kesyukuran dan memohon keberkatan untuk negara serta kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Majlis serupa juga turut diadakan bagi jemaah wanita di Surau Kecil, Istana Nurul Iman, dengan kehadiran Pemangku Menteri Kewangan, Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.
Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Dayang Hajah Noorlaila binti Haji Metusin, kemudian diteruskan dengan tazkirah bertajuk 'Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui Doa Memohon Keberkatan Dunia dan Akhirat' yang disampaikan oleh oleh Dayang Siti Syuhaidah binti Haji Ramli.
Pada majlis itu turut disemarakkan dengan persembahan Dikir Assalamualaika serta Dikir Asyarakal daripada Kementerian Kewangan, Dikir Khairuman daripada MPK Temburong, Dikir Bisyahrin oleh Muslimah Masjid dan KBM Masjid Kampung Sungai Besar, manakala Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat daripada pegawai JPI Bahagian Sekolah Ugama Daerah Tutong.