Kerjasama sekolah, ibu bapa, pelajar pacu keberhasilan pendidikan

23 Sep 2026 - 4:23am

Oleh : Nurdiyanah Rajami

Foto : Ihsan Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja

MENTIRI, Selasa, 22 September. – Dengan hasrat bagi memberi pendedahan dan menyediakan ruang interaksi yang konstruktif antara pihak sekolah dan ibu bapa atau penjaga dalam membincangkan strategi akademik dan motivasi pelajar sekali gus menyokong kejayaan anak-anak menjelang peperiksaan utama, Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja (SMPDSM) dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SMPDSM Sesi 2024 hingga 2026 telah mengungkayahkan Majlis Sesi Kongsi Sama Program Memperkasa Kejayaan Anakku 3.0 (Tier 1 dan Tier 2) Tahun 2026 bertempat di Dewan Jubli Mutiara SMPDSM, petang tadi.

Antara yang hadir sepanjang berlangsungnya program berkenaan, Pengetua SMPDSM, Awang Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof Al-Idrus; Timbalan-timbalan Pengetua SMPDSM; Kaunselor Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar (SMSAB), Dayang Hajah Aslinda binti Haji Aliakbar yang juga selaku fasilitator undangan; Pengerusi PIBG SMPDSM; Ahli-ahli Jawatakuasa Eksekutif (EXCO) PIBG SMPDSM; dan ibu bapa atau penjaga pelajar-pelajar Tahun 11 (Tier 1 dan Tier 2).

Awang Haji Malai Shah Eran dalam ucapan pembukaannya antara lain menjelaskan program berkenaan diadakan khusus untuk ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar Tahun 11 pada tahun ini yang melibatkan pelajar dalam Tier 1, iaitu mereka yang mencapai enam kredit dan ke atas dalam penilaian kelayakan serta Tier 2, iaitu mereka yang mencapai tiga hingga lima kredit secara keseluruhan.

Jelasnya lagi, walaupun pencapaian mereka berbeza, matlamat kita adalah sama untuk membantu setiap anak mencapai potensi terbaik mereka dalam Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE Peringkat 'O' dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) yang akan datang.

"Melalui bengkel ini, ibu bapa dan penjaga akan berpeluang untuk mendapatkan pengetahuan, berkongsi pengalaman, serta bertukar idea dan strategi yang berkesan dalam menyokong anak-anak di rumah.

"Kita akan bersama-sama meneroka cara untuk memperkukuh disiplin belajar, mengurus masa, mengatasi cabaran, serta membina keyakinan diri anak-anak supaya mereka dapat meningkatkan pencapaian dan mencapai kecemerlangan.

"Kejayaan anak-anak bukanlah hasil usaha mereka sahaja, tetapi merupakan hasil kerjasama yang erat antara sekolah, keluarga dan komuniti. Dengan sokongan berterusan daripada ibu bapa, bimbingan guru-guru yang berdedikasi, serta usaha gigih pelajar sendiri, saya yakin kita boleh melihat lebih ramai pelajar mencapai keputusan yang lebih cemerlang dalam Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE Peringkat 'O' dan IGCSE," katanya.

Awang Haji Malai Shah Eran turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada PIBG SMPDSM atas kerjasama dan sokongan padu dalam merealisasikan program berkenaan. Terima kasih juga kepada semua guru yang sentiasa komited, kepada ibu bapa dan penjaga yang sentiasa memberi sokongan padu usaha dan semangat yang tidak pernah luntur.

“Semoga program ini memberi manfaat yang besar kepada semua dan menjadi satu lagi langkah bermakna dalam menyokong anak-anak kita menuju kejayaan. Bersama kita membimbing, bersama kita memperkasakan demi masa depan yang lebih cerah untuk pelajar-pelajar SMPDSM khususnya,” ujarya lagi.

Dengan adanya pelaksanaan program sedemikian, ia juga antaranya bertujuan bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan kerjasama tiga pihak, iaitu sekolah, ibu bapa atau penjaga dan pelajar dalam memastikan keberhasilan pendidikan, di samping dalam sama-sama menyemai budaya sokongan moral dan emosi yang berterusan daripada ibu bapa kepada anak-anak.