Oleh : Hezlinawati Haji Abdul Karim
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof berkata bahawa kerajaan memperkukuhkan kesiapsiagaan menghadapi ketidaktentuan global melalui Komiti Kebangsaan Menangani Kesan Konflik Timur Tengah dan Perkembangan Semasa (KK-MKKTTPS) sebagai platform Whole-of-Government, di samping memperkukuh keterjaminan tenaga dan makanan melalui langkah mitigasi kos sara hidup, kepelbagaian sumber tenaga, pengawalan harga serta peningkatan pengeluaran tempatan dan stok yang strategik.
Ketika menjawab pertanyaan yang disuarakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin mengenai komiti kebangsaan, Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II menjelaskan KK-MKKTTPS ditubuhkan untuk menyelaras penilaian risiko dan impak terhadap rakyat terutamanya pertama, menilai risiko terhadap bekalan tenaga, makanan, ubat-ubatan, bahan pembinaan dan keperluan asas yang lain termasuk impak ekonomi dan sosial kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana; kedua, merangka langkah mitigasi kos sara hidup termasuk intervensi jangka serta-merta, pendek, sederhana dan panjang; dan ketiga, memastikan kemampanan fiskal melalui pendekatan bersepadu. Strategi bagi mencapai objektif yang telah dikongsikan.
Yang Berhormat seterusnya menyatakan antara objektif tersebut adalah simpanan pengurusan tahap stok simpanan strategik negara bagi makanan, bahan api, ubat-ubatan; kepelbagaian sumber dan rantaian bekalan, pengurusan permintaan dan pelan kontingensi serta kerjasama serantau dan antarabangsa untuk mengurangkan kos import dan risiko gangguan bekalan.
Pendekatan ini ujar Yang Berhormat lagi membolehkan kerajaan melindungi golongan rakyat yang mudah terjejas tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.
“Komiti ini juga menyediakan ‘national risk monitoring dashboard’ bagi memantau harga minyak, tahap stok dan status rantaian bekalan serta mengeluarkan siaran akhbar dan melaksanakan pembarigaan awam bagi memastikan rakyat sentiasa peka tentang langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan,” jelas Yang Berhormat.
Usaha-usaha dimantapkan lagi dengan perancangan senario, penilaian risiko secara berkala, pemantauan petunjuk amaran awal serta penambahbaikan dasar berdasarkan data dan prestasi.
Menurut Yang Berhormat, ini adalah penting dalam menetapkan petunjuk pencetus atau ‘trigger points’ yang membolehkan kerajaan bertindak dengan lebih pantas dan tepat sebelum sesuatu gangguan berkembang menjadi krisis yang lebih besar.
“Antara risiko yang dikenal pasti adalah dari perspektif keterjaminan dan keselamatan tenaga dan bagi negara. Sektor tenaga menyumbang kepada kos sara hidup rakyat secara langsung melalui harga bahan api dan tarif elektrik dan secara tidak langsung melalui kos pengangkutan dan pengeluaran,” ujar Yang Berhormat.
Oleh yang demikian, kata Yang Berhormat lagi langkah kerajaan bagi sektor tenaga bagi memastikan kemampuan milik yakni ‘affordability’ dan kemampanan fiskal ditumpukan kepada tiga teras iaitu pertama, memastikan harga tenaga domestik kekal stabil dan mampu milik dengan pihak kerajaan terus mengekalkan harga domestik bagi bahan api iaitu produk petroleum dan LPG serta tarif elektrik pada kadar stabil walaupun harga minyak mentah dan gas asli di pasaran global terus bergolak.
Teras kedua, kata Yang Berhormat lagi ialah memastikan penggunaan tenaga dilaksanakan secara berhemah. Selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Ke-80 baginda agar penggunaan sumber tenaga dilaksanakan secara berhemah oleh semua pihak.
Bagi teras ketiga pula, iaitu dalam mengukuhkan kemampanan sistem tenaga dan kewangan negara bagi jangka masa panjang, Yang Berhormat menjelaskan bahawa kerajaan terus memantau perkembangan harga tenaga global secara berterusan bagi perancangan fiskal yang lebih berhemat sambil mempelbagaikan sumber tenaga negara termasuk tenaga solar bagi mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil.
Dalam pada itu, Yang Berhormat seterusnya berkata kerajaan menyedari bahawa ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa boleh meningkatkan kos makanan melalui kenaikan harga bahan api, pengangkutan, baja, benih dan makanan ternakan.
“Seiring dengan usaha memastikan keselamatan dan keterjaminan tenaga terus terpelihara, pihak kerajaan turut memberikan perhatian yang sama penting terhadap keterjaminan bekalan makanan sebagai satu lagi tonggak utama kesejahteraan rakyat dan daya tahan negara,” ujar Yang Berhormat.
Melalui pendekatan bersepadu secara Whole-of-Government, ujar Yang Berhormat lagi usaha dilaksanakan menerusi pemantauan harga dan bekalan secara berterusan, penyampaian maklumat harga yang telus melalui platform pengguna bijak serta pengawalan harga bagi barangan keperluan terpilih.
Yang Berhormat seterusnya berkata kerjasama erat antara agensi kerajaan dan pihak industri turut diperkukuh bagi mengenal pasti tekanan pasaran, merangka intervensi yang bersesuaian serta menggalakkan kepelbagaian sumber import supaya bekalan barangan keperluan kekal mudah diperoleh pada harga yang stabil dan munasabah khususnya bagi golongan yang mudah terjejas.
Pihak kerajaan melalui komiti kebangsaan jelas Yang Berhormat akan terus mengambil pendekatan yang proaktif, bersepadu dan bersasar bagi melindungi kesejahteraan rakyat serta memastikan negara sentiasa bersedia menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks dan tidak menentu. Segala usaha ini akan terus diperkukuh demi menjamin daya tahan, kestabilan dan keselamatan negara.