Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BERAKAS, Isnin, 24 Ogos. - Kegagalan inisiatif keusahawanan dalam Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) turut dizahirkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa bertitah pada Keberangkatan Tidak Berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), pagi tadi.
“Juga membimbangkan ialah kegagalan inisiatif keusahawanan dalam program-program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ), hanya 244 asnaf sahaja yang berjaya mandiri setelah mengikuti program PROPAZ yang diperkenalkan sejak 17 tahun. Tetapi purata hanya 15 asnaf sahaja dalam setahun, sedang jumlah sebenar asnaf fakir miskin adalah lebih dari 14,000 orang,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Baginda mempersoalkan mengapa perkara sedemikian ini boleh berlaku dan adakah program-program di bawah PROPAZ dianggap tidak benar untuk diikuti oleh asnaf.
“Jika ada, mengapakah tidak diusahakan idea baharu untuk melancarkan PROPAZ ini. Jika benar ketandusan idea, mengapakah tidak bekerjasama dengan pihak-pihak lain?,” tegas baginda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya bertitah mengingatkan bahawa kejayaan PROPAZ adalah diharapkan untuk serba sedikit dapat membantu kerajaan baginda mencapai matlamat utama Wawasan Brunei 2035.
Dalam pada itu, baginda juga bertitah menekankan bahawa pengurusan zakat bukan urusan pentadbiran biasa, tetapi ia adalah terikat sebagai amanah agama. Sehubungan itu, baginda bertitah mahu supaya pihak Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB), mempunyai kemahiran dan kepakaran yang setanding dengan tanggungjawab yang dipikul.
Baginda bertitah lagi menyarankan agar pihak yang berkenaan sentiasa berusaha untuk menambah ilmu, selain bekerjasama dengan pihak-pihak yang mempunyai kompetensi.
Pada masa yang sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berharap kemajuan teknologi dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai mekanisme kawalan bagi menutup rapat sebarang ruang ketirisan dalam pengurusan hal ehwal zakat.
Baginda bertitah menegaskan tidak mahu lagi mendengar mengenai permohonan asnaf tertangguh sekian lama atau bantuan lambat sampai, sedangkan kaedah dan kemudahan untuk mempercepatkannya sudah sedia ada.
Baginda seterusnya bertitah supaya Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diwujudkan untuk memastikan amanah dan semua nasihat yang telah diberikan dilaksanakan dengan sewajarnya.
Pada masa yang sama tambah titah baginda, MUIB dan KHEU mesti memainkan peranan utama dalam memata-matai sebarang ketirisan yang ada. “MUIB tidak boleh hanya sebagai pemerhati, tetapi mesti berada di barisan hadapan,” titah baginda. Baginda menegaskan bahawa urusan pengurusan zakat tidak boleh diserahkan sepenuhnya di bawah pengendalian JUZWAB.