Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BELAIT, Khamis, 20 Ogos. - Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya meneruskan lagi Majlis Dikir Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait, malam tadi.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga), JPM, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra.
Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, diikuti dengan bacaan wirid, doa dan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan Dikir Assalamualaika dan Dikir Syarafil Anam daripada kumpulan dikir masjid berkenaan.
Kemudian diteruskan dengan Dikir Marhaban, diikuti dengan bacaan doa selepas Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan diakhiri dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah serta doa sebagai penutup majlis.
Majlis tersebut merupakan anjuran bersama oleh Pejabat Wawasan Brunei, JPM selaku Pengerusi Majlis dengan dikendalikan bersama oleh Biro Mencegah Rasuah dan Jabatan Kehakiman Negara.