Ilan Najaah suntik semangat calon Tahun 11 menuju kejayaan

23 Sep 2026 - 4:41am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi 

Foto : Ihsan Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 22 September. - Menjelang detik penting menduduki Peperiksaan GCE 'O' Level, para pelajar Tahun 11 Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab (SMSUA) diberikan suntikan semangat dan pengukuhan rohani menerusi Majlis Ilan Najaah Menuju Kejayaan yang berlangsung di Dewan Serbaguna sekolah berkenaan.

Majlis tersebut bukan sekadar menjadi wadah persediaan para pelajar menghadapi peperiksaan, malah mengetengahkan kepentingan restu, doa dan keberkatan ilmu sebagai bekalan dalam melangkah ke fasa penting kehidupan mereka.

Dalam ucapannya, Pengetua SMSUA, Dayang Hajah Rosiah binti Haji Gharif, menegaskan bahawa kejayaan para pelajar tidak hanya diukur melalui gred dan keputusan peperiksaan, sebaliknya turut bergantung kepada keberanian untuk terus bangkit, belajar daripada kesilapan dan tidak mudah berputus asa.

"Hari ini saya tidak mahu berbicara panjang tentang peperiksaan, gred ataupun keputusan. Hari ini saya ingin berbicara dari hati ke hati," ujarnya kepada para pelajar Tahun 11.

Menurut Dayang Hajah Rosiah, apabila para pelajar melangkah ke dewan peperiksaan nanti, mereka sebenarnya tidak bersendirian kerana bersama mereka turut dibawa doa ibu bapa, restu guru-guru dan harapan seluruh warga sekolah.

Pengetua SMSUA turut menyampaikan restu kepada para pelajar serta menghalalkan segala ilmu yang telah dicurahkan oleh para guru sepanjang tempoh pembelajaran mereka.

Dalam pada itu, Dayang Hajah Rosiah mengingatkan bahawa perjalanan para pelajar hingga ke tahap tersebut bukanlah mudah kerana terdapat pelbagai cabaran, termasuk saat berasa yakin, penat mahupun kecewa dengan keputusan peperiksaan.

Namun, jelas beliau, satu keputusan yang kurang baik tidak menentukan masa depan seseorang, sebaliknya masa depan ditentukan oleh keberanian untuk bangkit, memperbaiki kesilapan dan terus berusaha.

Dayang Hajah Rosiah juga menzahirkan penghargaan terhadap komitmen guru-guru yang sentiasa mengajar, membimbing, menegur dan mengingatkan para pelajar demi memastikan mereka mencapai kejayaan.

"Guru tidak meminta kamu membalas segala penat lelah mereka. Hadiah yang paling bermakna bagi seorang guru ialah apabila suatu hari nanti mereka melihat anak didiknya menjadi insan yang berjaya, berilmu, berakhlak dan mampu membanggakan ibu bapa," katanya.

Menyentuh mengenai suasana di dewan peperiksaan kelak, beliau menyeru para pelajar agar tidak membiarkan ketakutan menguasai diri, sebaliknya melangkah dengan 'Bismillah', keyakinan dan hati yang tenang, sambil membawa bersama segala ilmu, usaha serta doa ibu bapa dan guru-guru.

Majlis berkenaan antara lain bertujuan mempersiapkan para calon GCE 'O' Level dari segi mental dan rohani, di samping memohon restu guru-guru serta ibu bapa atau penjaga yang telah mencurahkan ilmu, mendidik dan membimbing mereka.

Selain itu, ia turut menjadi wadah untuk menyemai perasaan menghargai, memeduli, mensyukuri dan berterima kasih kepada ibu bapa, guru-guru serta pihak sekolah atas segala jasa dan pengorbanan yang berterusan.

Majlis sedemikian dihasratkan dapat membina 'jambatan emas' dalam mengeratkan hubungan antara para pelajar, guru-guru dan ibu bapa sebagai satu sinergi dalam menghadapi peperiksaan yang bakal berlangsung.

Dengan restu dan doa yang dipanjatkan, para pelajar Tahun 11 SMSUA diharap melangkah ke medan peperiksaan bukan sahaja dengan ilmu yang mencukupi, tetapi juga dengan keyakinan, ketenangan, adab dan semangat untuk memberikan yang terbaik.