Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
TUNGKU LINK, Selasa, 29 September. - Pusat bagi UniHEALTH (Centre for University Life and Wellness) dan CAMPUs (Campus Asset Management & Planning for University Life) hari ini menganjurkan UBD Healthy Fest 2026 selama dua hari sehingga 30 September 2026 bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Acara ini menghimpunkan warga universiti, agensi kerajaan dan rakan-rakan strategik untuk meneroka bagaimana pergerakan harian, interaksi sosial dan penggunaan teknologi yang lebih sihat dapat menyumbang kepada kesejahteraan menyeluruh.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan acara tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.
Dengan tema ‘Menjalin Semula Hubungan Melalui Pergerakan, Kenangan dan Kesejahteraan,’ Healthy Fest tahun ini mengetengahkan hubungan antara aktiviti fizikal, interaksi sosial, kenangan positif dan kesejahteraan menyeluruh.
Ia juga merupakan acara kemuncak bagi Bulan Kesihatan dan Kesejahteraan UBD yang diadakan sepanjang bulan September, yang menampilkan pelbagai aktiviti promosi kesihatan merangkumi kesihatan fizikal dan mental, kesejahteraan sosial serta persediaan kewangan untuk persaraan.
Pengerusi Bersama Healthy Fest 2026, Dr. Deeni Rudita Idris, berharap mereka dapat memperkukuh kefahaman bahawa kesihatan dan kesejahteraan bukan sekadar tanggungjawab individu, malah merupakan usaha kolektif ke arah membina komuniti universiti yang lebih sihat, aktif dan sejahtera.
Salah satu tumpuan utama Healthy Fest 2026 ialah menghidupkan semula budaya bergerak aktif melalui aktiviti yang dahulunya merupakan sebahagian lumrah kehidupan zaman kanak-kanak.
Ini termasuklah permainan tradisional seperti Carah, Simban, Congkak dan Kaki Tiga yang diketengahkan bagi mengingatkan peserta bahawa aktiviti fizikal tidak semestinya berbentuk senaman yang berstruktur. Aktiviti sebegini bukan sahaja menggalakkan pergerakan tubuh malah memupuk semangat persahabatan, kerjasama berpasukan, dan interaksi sosial.
Healthy Fest turut menyentuh perubahan dalam cara masyarakat belajar, bekerja, berkomunikasi, dan meluangkan masa lapang dalam persekitaran yang semakin didominasi oleh teknologi digital.
Walaupun mengakui manfaat teknologi, acara ini menggalakkan pendekatan yang seimbang dalam penggunaannya serta mendorong individu untuk mewujudkan lebih banyak lagi peluang bagi melakukan pergerakan, berehat, dan berinteraksi secara bersemuka dalam kehidupan seharian.
Dr. Deeni menambah bahawa mesej Healthy Fest bukanlah untuk menolak teknologi, sebaliknya menggalakkan penggunaannya secara bijak dan seimbang.
“Kami ingin mengingatkan diri kita bahawa, walaupun terdapat kemajuan teknologi, pergerakan, rehat, dan hubungan sosial yang bermakna kekal sebagai komponen penting dalam kesejahteraan menyeluruh kita,” ujar beliau lagi.
Selaras dengan garis panduan aktiviti fizikal kebangsaan Negara Brunei Darussalam, golongan dewasa digalakkan untuk melakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti fizikal berintensiti sederhana setiap minggu.
Healthy Fest mengukuhkan mesej bahawa gaya hidup aktif boleh diterapkan dalam kehidupan seharian melalui aktiviti mudah seperti berjalan kaki, menggunakan tangga, berkebun, dan bermain bersama ahli keluarga.
Sepanjang acara dua hari itu, orang ramai yang berkunjung berpeluang menyertai permainan tradisional dan aktiviti interaktif, serta menghadiri forum, ceramah, dan pameran kesihatan.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan literasi kesihatan, menggalakkan gaya hidup aktif, mengeratkan hubungan antara generasi, dan memperkenalkan pendekatan praktikal bagi mengekalkan kesejahteraan diri.
Healthy Fest 2026 juga menunjukkan bahawa komitmen UBD dalam mewujudkan persekitaran kampus yang selamat, inklusif, dan penuh hormat melalui penerapan budaya 'Toleransi Sifar' (Zero Tolerance).
Inisiatif ini menekankan peluang saksama bagi warga universiti, termasuk golongan kurang upaya, untuk terlibat sepenuhnya dalam kehidupan kampus tanpa diskriminasi, buli, atau gangguan.
Melalui Healthy Fest 2026, UBD berharap dapat menggalakkan perubahan mampan yang berterusan selepas acara dua hari itu dengan memberi inspirasi kepada warganya untuk lebih banyak bergerak, menggunakan teknologi secara bijak, serta meluangkan masa yang bermakna untuk berinteraksi dengan orang lain.
Acara ini mencerminkan komitmen lebih luas UBD untuk membina komuniti universiti yang lebih sihat, aktif, saling berhubung, dan inklusif di samping mengetengahkan kepentingan kerjasama, memandangkan Healthy Fest 2026 mendapat sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta seperti Kementerian Kesihatan, Pusat Sejarah Brunei, Pusat Al-Islah, Persatuan Sokongan Pemulihan (AFSA), Klinik Kare, Klinik Rayyan Baharin, serta pelbagai usahawan makanan dan minuman tempatan.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan, pegawai, kakitangan dan para pelajar UBD.