Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Ihsan Sin Chew Daily Brunei
MANGGIS, Isnin, 21 September. - Festival Makanan Brunei-China 2026 yang dianjurkan oleh Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam, Persatuan Persahabatan Brunei-China (BCFA) dan China Intercontinental Communication Center, menjadi wadah untuk memperkukuh hubungan persahabatan dan pertukaran budaya antara rakyat kedua-dua negara.
Majlis pelancaran festival tersebut berlangsung di Hua Ho Manggis Mall Ballroom dan turut mendapat sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Chen Shaochun, dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman dan Yang Berhormat Awang Lau How Teck.
Semasa berucap pada majlis tersebut, Tuan Yang Terutama Chen Shaochun berkata, Republik Rakyat China dan Negara Brunei Darussalam (NBD) merupakan negara jiran yang bersahabat merentasi lautan, dengan hubungan persahabatan kedua-dua negara yang terus kukuh.
Tuan Yang Terutama berkata, tahun ini menandakan ulang tahun ke-35 penubuhan hubungan diplomatik antara Republik Rakyat China dan NBD, sekali gus membawa hubungan kedua-dua negara ke satu tahap sejarah baharu dalam usaha membina komuniti China-Brunei yang berkongsi masa depan bersama.
Menurut TYT, dalam pertemuan semasa Keberangkatan Rasmi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri ke Republik Rakyat China pada Mei tahun ini, Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping, menggariskan bahawa Republik Rakyat China dan NBD perlu menjadi rakan strategik yang mempunyai tahap kepercayaan bersama yang tinggi, rakan pembangunan berasaskan kerjasama menang-menang, rakan tamadun yang saling memahami dan bersahabat serta rakan dalam tadbir urus global.
Katanya, perkara tersebut telah menggariskan hala tuju hubungan China-Brunei pada peringkat seterusnya.
“Melangkah ke hadapan, kami bersedia untuk bekerjasama dengan rakan-rakan di Brunei bagi melaksanakan sepenuhnya persefahaman penting yang dicapai oleh kedua-dua ketua negara, terus memperluas kerjasama persahabatan dalam pelbagai bidang, memperdalam pertukaran antara rakyat dan pembelajaran bersama serta menggalakkan rakyat kedua-dua negara untuk lebih kerap berkunjung antara satu sama lain,” jelas TYT.
Beliau berharap usaha tersebut akan terus mengukuhkan hubungan saling memahami antara rakyat kedua-dua negara dan bersama-sama memberikan sumbangan baharu dalam memajukan pembinaan komuniti China-Brunei yang berkongsi masa depan bersama.
Sementara itu, Presiden BCFA, Dr. Muhammad Firdaus bin Abdul Rahman berkata, makanan bukan sahaja memenuhi selera, malah mampu mendekatkan hati dan mengeratkan hubungan sesama manusia.
“Melalui Festival Makanan ini, kita berharap dapat terus memperkukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat, pertukaran budaya dan persahabatan antara kedua-dua negara,” ujarnya.
Antara acara kemuncak festival ialah sesi demonstrasi masakan yang menampilkan lima cef terkemuka dari Beijing.
Pasukan cef berkenaan membawa pengalaman selama puluhan tahun dalam bidang kulinari, selain mengetengahkan teknik masakan tradisional dan kepakaran dalam memperkenalkan keistimewaan masakan Republik Rakyat China kepada para tetamu.
Festival Makanan Brunei-China 2026 bukan sahaja menjadi platform untuk menikmati kepelbagaian hidangan masakan Republik Rakyat China, malah berperanan sebagai jambatan budaya yang menghubungkan masyarakat kedua-dua negara menerusi makanan, pertukaran budaya dan interaksi antara rakyat.