Brunei-Malaysia tingkatkan kerjasama, teroka peluang baharu demi kesejahteraan bersama

23 Og 2026 - 8:55am

Oleh : Nooratini Haji Abas

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Ogos. – Pada akhir Perundingan Tahunan Ketua-Ketua Kerajaan Kali Ke-27, satu Kenyataan Bersama telah dikeluarkan yang mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato Laila Utama Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengesahkan semula komitmen untuk memperdalam lagi kerjasama dalam bidang-bidang penting yang mempunyai kepentingan bersama dan meneroka peluang-peluang baharu untuk kerjasama yang akan memajukan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat kedua-dua buah negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia menekankan semula kepentingan pelaksanaan ‘Exchange of Letters’ (EOL) 2009 yang berterusan sebagai asas utama kerjasama strategik.

Dalam Kenyataan Bersama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia mengiktiraf komitmen yang kukuh dan usaha yang signifikan daripada Jawatankuasa Teknikal Bersama, yang mana kira-kira 50 peratus sempadan darat telah diukur dan ditandakan bersama, dan seterusnya menekankan keperluan untuk mengekalkan momentum ke arah mencapai sasaran yang dipersetujui untuk melengkapkan pengukuran bersama dan penandaan keseluruhan sempadan darat menjelang tahun 2034.

Dalam hal ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia mengambil maklum hasil Mesyuarat ke-27 mengenai Pelaksanaan EOL pada 21 Ogos 2026 di Bandar Seri Begawan, dan menggesa agar Jawatankuasa Teknikal Bersama untuk memajukan kerja-kerja teknikal dalam semua sektor yang belum selesai, terutamanya sektor-sektor keutamaan dengan secepat mungkin, selaras dengan TOR 2012 dan mengambil kira aspek-aspek yang mempunyai persamaan antara kedua-dua pihak.

Mengenai kerjasama dalam mencari dan menyelamat, kedua-dua Pemimpin bersetuju untuk memperdalamkan lagi kerjasama dua hala dan memperkukuh penyelarasan yang lebih erat dalam mencari dan menyelamat (SAR) rentas sempadan dan tindak balas kecemasan.

Kedua-dua Pemimpin menzahirkan rasa gembira dengan kemajuan kerjasama ekonomi yang stabil antara Negara Brunei Darussalam dan Negeri Sabah dan Negeri Sarawak, dan seterusnya mengalu-alukan kemajuan dalam kerjasama tenaga dan perjanjian antara Negara Brunei Darussalam dan Negeri Sarawak pada September 2025, untuk bekerjasama dalam aktiviti minyak dan gas, kuasa, peralihan tenaga dan sebarang aktiviti lain yang dipersetujui bersama pada masa hadapan. Ini, antara lain, termasuk usaha berterusan ke arah merealisasikan projek sambungan kuasa Brunei-Sarawak sebagai sebahagian daripada ASEAN Power Grid (APG), serta kerjasama Gas Petroleum Cecair (LPG) yang sedia ada, pertukaran lawatan dan bengkel.

Kedua-dua Pemimpin seterusnya mengalu-alukan Memorandum Persefahaman yang ditandatangani antara Royal Brunei Airlines (RB) dan Lembaga Pelancongan Sarawak dan menggalakkan lebih banyak inisiatif pelancongan bersama antara Negara Brunei Darussalam dengan Negeri Sabah dan Negeri Sarawak, terutamanya menjelang Tahun Melawat Brunei 2027.

Kedua-dua Pemimpin mengalu-alukan perbincangan berterusan mengenai penanaman padi secara komersial di Sarawak, yang boleh menyumbang kepada keselamatan makanan, mengukuhkan kerjasama pertanian dan mewujudkan peluang ekonomi baharu untuk kedua-dua pihak memajukan perbincangan mengenai usaha sama yang saling menguntungkan.

Kedua-dua Pemimpin juga menggalakkan agensi berkaitan untuk meneroka kemungkinan “single checkpoint” untuk memperkemas prosedur imigresen, termasuk mengurangkan keperluan untuk pelbagai pengesahan pasport, dan memudahkan pergerakan rentas sempadan yang lebih lancar.

Kedua-dua Pemimpin mengalu-alukan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Brunei Darussalam (NCCIBD).

Mengenai kerjasama pertahanan, kedua-dua Pemimpin berpuas hati dengan pertukaran aktif dan program latihan antara kedua-dua angkatan tentera, serta kerjasama di bawah United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).

Kedua-dua Pemimpin mengalu-alukan pembaharuan Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama dalam Pengurusan Bencana pada 22 Ogos 2026.

Mengenai isu-isu serantau, kedua-dua Pemimpin menekankan semula komitmen untuk merealisasikan aspirasi bersama ASEAN Community Vision 2045, melalui memajukan pelaksanaan yang berkesan.

Mengenai Timur Tengah, kedua-dua Pemimpin menekankan bahawa isu Palestin kekal sebagai punca utama konflik dan ketidakstabilan di rantau tersebut dan menyatakan kecaman keras terhadap tindakan genosid dan pembersihan etnik yang berterusan yang dilakukan oleh Israel, sebagai “Occupying Power”.

Kedua-dua Pemimpin juga menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap ketegangan yang semakin meningkat dan permusuhan di Timur Tengah, terutamanya yang melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Republik Islam Iran, dan serangan balas terhadap beberapa negara di rantau tersebut.

Kedua-dua Pemimpin selanjutnya menyatakan bahawa situasi itu telah mengganggu lalu lintas maritim melalui Selat Hormuz, menjejaskan rantaian bekalan global dalam tenaga dan barangan keperluan, dan menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap sebarang langkah diskriminasi atau unilateral yang tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa, dan menyeru pemulihan laluan transit kapal dan pesawat yang selamat, tanpa halangan, dan berterusan di Selat Hormuz, selaras dengan UNCLOS 1982.