Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat bersama Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato Laila Utama Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ke Baitul Mesyuarah bagi menyaksikan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman di antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan Kerajaan Malaysia, iaitu Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Malaysia mengenai Kerjasama dalam Bidang Pengurusan Bencana.
Menandatangani bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Pemangku Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, manakala, Kerajaan Malaysia pula diwakili oleh Menteri Luar Negeri, Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan.