Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Ogos. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat menerima mengadap Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia berada di Negara Brunei Darussalam (NBD) sempena Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan Kali Ke-27 antara NBD dan Malaysia.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia bagi Majlis Mengadap di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman, di sini.
Berangkat sama ke Majlis Mengadap berkenaan ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; serta Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Juga hadir ialah delegasi Malaysia dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Menteri Pengiring.
Majlis Mengadap berkenaan diikuti dengan Majlis Pengurniaan Bintang Kebesaran NBD.
Kebawah DYMM berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K) kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang membawa gelaran 'Dato Laila Utama'.
Pada majlis berkenaan, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.