Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morsidi, Muhammad Asri bin Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin
PENANJONG GARISON, Rabu, 19 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat bercemar duli ke Upacara Kemuncak Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Jubli Emas Rejimen Pasukan Khas Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (RPK ABDB).
Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka-paduka anakanda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta ahli-ahli kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pegawai Pemerintah RPK ABDB.
Terdahulu, Kebawah DYMM dijunjung ke Pentas Diraja bagi menerima Tabik Hormat Diraja sebelum berkenan memeriksa Perbarisan Sambutan HUT Jubli Emas RPK ABDB yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan anggota-anggota RPK ABDB, Pancaragam ABDB, serta aset-aset RPK ABDB.
Upacara Perbarisan diteruskan dengan lafaz Ikrar Taat Setia RPK ABDB yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah RPK ABDB, diikuti dengan laungan 'Tangkas Berani'.
Kebawah DYMM seterusnya berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan HUT Jubli Emas RPK ABDB, diikuti dengan laungan 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' sebanyak tiga kali.
Bagi memberkati upacara berkenaan, Doa Selamat telah dibacakan oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.
Seterusnya, Kebawah DYMM sekali lagi berkenan menerima Tabik Hormat Diraja sebelum perbarisan diakhiri dengan Kawalan Benteng.
Dari padang kawad, Kebawah DYMM berserta ahli-ahli kerabat diraja dijunjung ke Markas RPK ABDB dan berkenan menyempurnakan perasmian Tanda Peringatan Jubli Emas RPK ABDB dan seterusnya berkenan dijunjung melawat Galeri Jubli Emas RPK ABDB.
Kebawah DYMM kemudian berkenan bergambar ramai bersama Pegawai Pemerintah Rejimen, Pegawai-pegawai Memerintah Skuadron, Sarjan Mejar Rejimen, Sarjan Mejar Skuadron dan mantan-mantan Pegawai Pemerintah RPK ABDB.
Baginda berserta ahli-ahli kerabat diraja seterusnya berkenan berangkat ke Seksyen Operasi Khas Udara (SOKU) bagi menyaksikan Pameran Keupayaan Khas yang terkini. Baginda kemudiannya berkenan berangkat ke Kompleks Tempur Rapat (CQB) bagi menyempurnakan perasmian bangunan berkenaan dan seterusnya menyaksikan demonstrasi operasi khas di luar dan di dalam CQB.
Kebawah DYMM berserta ahli-ahli kerabat diraja kemudian meneruskan keberangkatan ke Dewan Gerak Badan RPK ABDB bagi menyaksikan fasiliti dan kelengkapan yang telah dinaik taraf menjadi sebuah gimnasium yang beroperasi sepenuhnya sejajar dengan keperluan anggota pasukan khas.
Seterusnya baginda berserta ahli-ahli kerabat diraja dijunjung ke kolam renang bagi menyaksikan keupayaan operasi khas bawah air.
Kebawah DYMM berserta ahli-ahli kerabat diraja kemudiannya berkenan berangkat ke Mes Pegawai Penanjong Garison bagi Majlis Santap Tengah Hari. Pada majlis berkenaan, baginda berkenan menyempurnakan acara memotong kek sempena Sambutan HUT Jubli Emas RPK ABDB dan Hari Keputeraan baginda yang Ke-80 Tahun dan seterusnya berkenan menerima pesambah.
Majlis kemudiannya diakhiri dengan Kebawah DYMM berkenan menerima junjung ziarah daripada seluruh warga RPK ABDB dan jemputan-jemputan khas, serta berkenan menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan dan sesi bergambar ramai sebelum berangkat meninggalkan majlis.