Bengkel memperkukuh literasi digital, bina penglibatan komuniti

1 Okt 2026 - 6:35am

Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Perpustakaan Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 September. - Persatuan Perpustakaan Brunei Darussalam (BLA) dengan kerjasama Pusat Sejarah Brunei (PSB) serta sokongan daripada International Federation of Library Associations and Institutions (IFLA) menganjurkan bengkel Impak IFLA mengenai ‘Measurement Evaluation and Demonstrating Impact of Library Services’ selama tiga hari bermula bermula 29 September hingga 1 Oktober 2026.

Majlis pembukaannya disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah bertempat di Dewan Jawatan Dalam, PSB, baru-baru ini.

Bengkel yang disertai oleh seramai 20 orang pustakawan itu dikendalikan oleh Jurulatih IFLA, Dr. Premila Gamage.

Pada majlis tersebut, Dr. Siti Norkhalbi berkesempatan menyaksikan pameran daripada para pelajar Kampus Sultan Saiful Rijal Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) daripada Sekolah ICT, Program Diploma dalam Pengajian Maklumat dan Perpustakaan, BLA serta PSB.

Sementara, Presiden BLA, Nellie Dato Sunny dalam ucapannya merakamkan setinggi penghargaan atas usaha dan komitmen IFLA meliputi hampir semua aspek berkaitan isu-isu global, khususnya dalam menjadikan maklumat sebagai pemangkin kepada pembangunan negara, menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) serta menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.

BLA telah banyak mendapat manfaat daripada program-program IFLA dan sebelum ini telah menjadi tuan rumah kepada dua IFLA Global Vision Workshops di Brunei pada tahun 2017 dan 2018, serta BSLA Pre-CONSAL Workshop dengan kerjasama Persatuan Perpustakaan Thailand di Bangkok pada tahun 2015.

BLA berharap agar lebih banyak program dan kerjasama IFLA dapat dilaksanakan pada masa akan datang.

Melalui bengkel ini, para pustakawan akan dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran dan peralatan yang diperlukan untuk mereka bentuk perkhidmatan yang fleksibel, memperkukuh literasi digital dan literasi kritikal, serta membina penglibatan komuniti yang lebih berkesan.