Barang tegahan berjaya dirampas

24 Og 2026 - 5:06am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

TEMBURONG, Ahad, 23 Ogos. - Hasil daripada maklumat yang disalurkan oleh orang awam, tindakan pantas anggota Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) baru-baru ini telah membawa kepada rampasan sejumlah barang tegahan dalam satu rondaan di Daerah Temburong.

Sebuah kenderaan jenis Daihatsu Sirion didapati dalam keadaan mencurigakan di kawasan pusing keliling Jalan Labu dan berjaya ditahan di kawasan Skim Tanah Kurnia Rakyat (STKRJ) Kampung Tanah Jambu setelah kenderaan berkenaan enggan berhenti dan dikejar oleh pihak polis.

Pemandu yang dipercayai seorang lelaki telah melarikan diri.

Pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemukan sebanyak 2,500 bungkus rokok, 48 botol dan 144 tin minuman keras pelbagai jenama. Kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan dan siasatan lanjut.

PPDB merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama dan maklumat yang diberikan.

Orang ramai diseru untuk terus memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah atau penyeludupan bagi membantu pihak berkuasa memelihara keselamatan, keamanan dan kesejahteraan negara.