Wakil Warisan Dunia berhimpun di Busan untuk sesi jawatankuasa UNESCO

20 Jul 2026 - 9:47am

BUSAN, 19 Julai. - Ribuan perwakilan dari seluruh dunia akan berhimpun di Busan, Republik Korea Selatan pada Ahad sempena pembukaan sesi tahunan Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO, yang julung kali diadakan di negara itu, lapor Agensi Berita Yonhap.

Kira-kira 3,000 peserta dari 196 negara anggota, pertubuhan antarabangsa dan badan bukan kerajaan dijangka menghadiri mesyuarat selama 10 hari di Pusat Pameran dan Konvensyen Busan di bandar pelabuhan itu, kira-kira 330 kilometer di tenggara Seoul.

Antara tokoh utama yang dijadual hadir ialah Ketua Pengarah UNESCO, Khaled El-Enany, Penolong Ketua Pengarah bagi Kebudayaan Nayef Al-Fayez dan Pengarah Pusat Warisan Dunia, Lazare Eloundou Assomo.

Ini merupakan kali pertama Republik Korea Selatan menjadi tuan rumah mesyuarat berkenaan sejak menyertai Konvensyen Warisan Dunia UNESCO pada 1988.

Sebagai badan utama pembuat keputusan UNESCO bagi warisan budaya dan alam semula jadi, jawatankuasa itu bersidang setiap tahun untuk meneliti pencalonan tapak baharu, menilai status pemuliharaan tapak yang telah disenaraikan serta membincangkan isu dasar berkaitan konvensyen berkenaan.

Sesi ke-48 itu akan berlangsung dari 20 hingga 29 Julai. - ©BERNAMA