Tuchel puji semangat juang England selepas raih gangsa

20 Jul 2026 - 9:47am

MIAMI, 19 Julai. - Pengendali England Thomas Tuchel memuji semangat juang dan ketahanan luar biasa anak buahnya selepas skuad The Three Lions menewaskan Republik Perancis 6 - 4 dalam aksi penentuan tempat ketiga pada Sabtu, lapor Xinhua.

England mendahului 4 - 0 pada separuh masa pertama sebelum Republik Perancis bangkit selepas rehat. 

Bukayo Saka menjadi wira England selepas melengkapkan hatrik.

“Saya tidak dapat memuji persembahan dan mentaliti yang ditunjukkan hari ini dengan kata-kata yang secukupnya. 

“Kami mempunyai kurang sehari untuk membuat persiapan, menempuh perjalanan beribu-ribu kilometer lebih jauh berbanding lawan serta berdepan cuaca panas.

“Namun, kami sekali lagi menemui jalan untuk menang. Kami sememangnya dijangka berdepan kesukaran dan saya amat kagum kerana pasukan menunjukkan tindak balas seperti yang kami mahukan,” kata Tuchel.

Kemenangan England dipacu penyudah tajam Saka, sekali gus membuktikan kepercayaan Tuchel terhadap pemain itu.

“Dia pemain penting bagi saya. Dia beraksi cemerlang hari ini dan menunjukkan sebab dia menjadi tonggak pasukan ini,” katanya.

Tuchel sebelum ini menerima kritikan selepas England tewas kepada Argentina pada separuh akhir awal minggu ini.

“Sidang media semalam terasa seolah-olah kami tersingkir pada peringkat kumpulan, tetapi 24 jam kemudian kami meraih pencapaian terbaik dalam tempoh 60 tahun.

“Saya bertanggungjawab atas keputusan yang tidak menjadi ketika menentang Argentina, namun saya benar-benar percaya kami telah membina sesuatu dalam Piala Dunia ini yang tidak boleh terpadam hanya dalam tempoh 30 minit,” katanya.

Meskipun meraih kemenangan, Tuchel mengakui kekecewaan gagal mara ke pentas final akan terus membekas.

“Kesakitan itu akan kekal untuk seketika. Inilah sukan di peringkat tertinggi.

“Namun, pingat ini membawa mesej yang jelas. Kami mempunyai kualiti, muncul penjaring terbanyak bersama kejohanan dan pencapaian ini akan membantu kami melangkah ke hadapan,” katanya. - ©BERNAMA