Seorang maut, 2 masih hilang dalam letupan paip gas di Medan

22 Jul 2026 - 9:13am

JAKARTA, 21 Julai. - Seorang maut manakala dua lagi masih hilang dipercayai tertimbus dalam kejadian letupan paip gas bawah tanah di Medan Polonia, Medan, Sumatera Utara pada Isnin petang. Dalam kejadian itu, sebuah rumah musnah manakala  tujuh lagi bangunan mengalami kerosakan.

Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Medan Hery Marantika berkata mayat mangsa pertama ditemukan kira-kira 2.20 pagi Selasa. "Kini, pasukan SAR terus melaksanakan pencarian secara intensif,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Berdasarkan maklumat awal, seramai tujuh individu berada di dalam rumah berkenaan ketika letupan berlaku. Empat daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.

Hery berkata pihaknya turut mengoptimumkan penggunaan peralatan mencari dan menyelamat bandar (USAR), termasuk dron pengimejan haba dan jengkaut untuk mengesan mangsa. Keselamatan anggota penyelamat kekal menjadi keutamaan berikutan struktur bangunan yang masih tidak stabil dan berisiko mengalami pergerakan, katanya. - ©BERNAMA