JAKARTA, 23 Julai. - Republik Indonesia menandatangani kontrak untuk memperoleh 12 pesawat latihan tempur M-346 F Block 20 daripada syarikat pertahanan Republik Itali, Leonardo, sebagai sebahagian usaha memperkukuh latihan juruterbang dan memodenkan Tentera Udara Indonesia.
Ketua Biro Maklumat Pertahanan Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Rico Ricardo Sirait berkata pesawat latihan tempur itu dipilih kerana spesifikasi dan keupayaannya sesuai dengan doktrin pertahanan udara tentera Republik Indonesia.
"Antara pertimbangannya adalah untuk memenuhi keperluan latihan juruterbang Tentera Udara Indonesia, di samping menyokong kesiapsiagaan operasi," katanya seperti dilaporkan Agensi Berita Antara pada Khamis.
Rico berkata kontrak pembelian itu telah ditandatangani dan berkuat kuasa, dengan penghantaran 12 pesawat berkenaan dijangka bermula pada 2030 sekiranya program itu berjalan mengikut perancangan. - ©BERNAMA