Ketua Hal Ehwal Agama Arab Saudi lancar pelan musim umrah 1448H di Masjid Nabawi

22 Jul 2026 - 9:11am

MADINAH, 21 Julai. - Ketua Hal Ehwal Agama Arab Saudi Sheikh Dr Abdulrahman Al-Sudais melancarkan pelan operasi musim umrah dan ziarah 1448 Hijrah di Masjid Nabawi, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).

Pelancaran itu menandakan permulaan pelaksanaan sistem bersepadu perkhidmatan keagamaan dan pengisian ilmu secara bersepadu yang bertujuan meningkatkan pengalaman para pengunjung.

Al-Sudais berkata pelan itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan mutu perkhidmatan keagamaan, memperkukuh kesiapsiagaan operasi serta menambah baik penyelarasan antara pelbagai agensi dan jabatan bagi menampung pertambahan jemaah umrah dan pengunjung, selain memperkaya pengalaman kerohanian mereka di masjid berkenaan.

Pelan itu merangkumi pelbagai program dan inisiatif pengisian ilmu, dakwah serta kesedaran, selain meneruskan usaha membangunkan perkhidmatan keagamaan di Masjid Nabawi.

Usaha berkenaan selaras dengan arahan kepimpinan negara untuk memelihara dan mengurus dua masjid suci, memperkukuh peranan keilmuan serta keagamaan Masjid Nabawi dan memperkaya pengalaman jemaah umrah serta pengunjung dari seluruh dunia.

Al-Sudais turut melancarkan Pusat Perkhidmatan Lapangan di Masjid Nabawi sebagai sebahagian daripada pelan operasi musim umrah dan ziarah 1448H bagi memperkukuh sistem perkhidmatan keagamaan di lapangan serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada para pengunjung.

Beliau berkata pelancaran pusat itu selaras dengan objektif pelan operasi untuk meningkatkan kesiapsiagaan di lapangan, membangunkan sistem perkhidmatan keagamaan dan mempercepat tindak balas terhadap keperluan jemaah umrah serta pengunjung.

Pusat berkenaan merupakan antara tonggak utama operasi musim umrah dan ziarah dalam membantu memperkukuh penyelarasan antara agensi dan jabatan, meningkatkan kecekapan pelaksanaan tugas di lapangan serta menyediakan perkhidmatan keagamaan berkualiti tinggi. - ©BERNAMA