Kementerian Kesihatan Gaza keluar amaran janakuasa hospital mungkin terhenti operasi

23 Okt 2026 - 9:18am

BANDARAYA GAZA, 23 Okt. - Kementerian Kesihatan Gaza memberi amaran pada Khamis bahawa janakuasa elektrik hospital berkemungkinan terhenti daripada beroperasi berikutan stok minyak pelincir telah habis sepenuhnya di tengah-tengah sekatan berterusan oleh Israel ke atas wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata pasukan jurutera sedang bekerja dalam keadaan sukar bagi memantau janakuasa berkenaan dan memastikan bekalan elektrik sampai ke jabatan-jabatan kritikal hospital.

"Jana kuasa telah beroperasi selama ribuan jam secara berterusan tanpa minyak pelincir atau penyelenggaraan yang mencukupi, sekali gus membawanya ke tahap bahaya mekanikal yang teruk," kata kementerian itu.

"Sekiranya enjin janakuasa terbakar disebabkan kekurangan minyak pelincir, ia berkemungkinan rosak kekal dan tidak boleh digunakan lagi walaupun bekalan tiba kemudian," katanya memberi amaran.

Kementerian berkenaan mengulangi gesaan untuk campur tangan segera, dengan menyatakan isu itu tidak lagi terhad kepada penyediaan minyak pelincir sahaja tetapi turut melibatkan perlindungan ke atas janakuasa yang masih ada daripada kerosakan menyeluruh.

Pada Rabu, kementerian itu berkata stok minyak pelincir yang diperlukan untuk mengendalikan janakuasa hospital telah habis, sambil menambah bahawa lebih 2,500 liter diperlukan secara mendesak setiap bulan bagi mengelakkan janakuasa sedia ada daripada rosak di tengah-tengah sekatan Israel terhadap kemasukan bekalan operasi dan penyelenggaraan.

Kementerian itu memberi amaran bahawa kekurangan yang berterusan mengancam penutupan jabatan perubatan yang menyelamatkan nyawa.

Pada September, ia memaklumkan bahawa 70 peratus daripada janakuasa hospital telah terhenti operasi berpunca daripada kekurangan bahan api, minyak pelincir dan alat ganti akibat sekatan Israel.

Hospital di Gaza bergantung sepenuhnya kepada janakuasa untuk membekalkan tenaga elektrik ke bilik pembedahan, Unit Rawatan Rapi (ICU), inkubator bayi, mesin bantuan pernafasan dan mesin dialisis sejak Israel memutuskan bekalan elektrik ke wilayah itu pada Oktober 2023.

Loji janakuasa tunggal di Gaza terhenti operasi pada 11 Oktober 2023 selepas kehabisan bahan api, menyebabkan terputusnya bekalan elektrik secara keseluruhan, manakala talian kuasa, kabel dan rangkaian pengagihan mengalami kerosakan teruk sepanjang peperangan.

Kerosakan pada rangkaian elektrik menghalang hospital daripada disambungkan semula ke grid kuasa, memaksa ia bergantung kepada janakuasa untuk tempoh yang lama.

Krisis elektrik berterusan berlarutan walaupun perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025, di tengah-tengah sekatan berterusan Israel terhadap bekalan yang diperlukan untuk memulihkan sistem kesihatan Gaza. - ©BERNAMA