HYDERABAD, 21 Julai. - Syarikat penerbangan terbesar India, IndiGo pada Isnin memeterai perjanjian yang mencatat rekod dengan pengeluar enjin Perancis-Amerika, CFM International bagi memperoleh lebih 1,000 enjin LEAP-1A untuk menjana kuasa 510 pesawat Airbus A320neo.
Memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada hari pembukaan Pameran Udara Antarabangsa Farnborough itu turut merangkumi sokongan CFM dalam membangunkan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) enjin IndiGo yang bakal diwujudkan.
"Ini akan menjadi tempahan tunggal terbesar pernah dibuat bagi enjin LEAP, sekali gus mencatat rekod bagi CFM International," menurut kenyataan bersama. India merupakan pasaran ketiga terbesar bagi CFM, sebuah usaha sama 50-50 antara GE Aerospace dengan Safran Aircraft Engines.
Menurut kenyataan itu, lima syarikat penerbangan India kini mengendalikan lebih 400 pesawat yang menggunakan enjin LEAP, manakala 2,000 enjin lagi telah ditempah.
"Ketika IndiGo memasuki fasa pertumbuhan seterusnya untuk menjadi sebuah syarikat penerbangan yang benar-benar bertaraf global, kami berbesar hati untuk memperluas kerjasama jangka panjang dengan CFM International bagi membekalkan enjin untuk pesawat keluarga Airbus A320/321neo yang akan diterima pada masa depan," kata Willie Walsh.
Walsh dijadual menerajui syarikat penerbangan itu sebagai ketua pegawai eksekutif baharu mulai bulan depan selepas menamatkan tempohnya sebagai ketua pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). - ©BERNAMA