Gunung Tai Republik Rakyat China, Table Mountain Afrika Selatan meterai kerjasama pemuliharaan

19 Jul 2026 - 8:42am

CAPE TOWN, 18 Julai. - Pihak berkuasa yang menguruskan Gunung Tai di Republik Rakyat China dan Table Mountain di Afrika Selatan pada Jumaat menandatangani perjanjian bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pemuliharaan serta pembangunan mampan, lapor Xinhua.

Perjanjian itu dimeterai antara Jawatankuasa Pengurusan Kawasan Pemandangan Gunung Tai dan South African National Parks (SANParks) dalam satu majlis di Cape Town yang dihadiri pegawai daripada kedua-dua pihak.

Gunung Tai, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO merupakan antara gunung paling terkenal di Republik Rakyat China dan dikenali kerana nilai sejarah, kebudayaan, estetika serta kepentingan saintifiknya. 

Table Mountain pula yang diuruskan SANParks ialah antara mercu tanda dan destinasi pelancongan paling ikonik di Afrika Selatan.

Menurut SANParks, perjanjian itu menyediakan kerangka kerjasama dalam usaha memulihara biodiversiti, pengurusan kawasan perlindungan, pelancongan mampan, pendidikan alam sekitar, penyesuaian terhadap perubahan iklim serta pertukaran pengetahuan dan kepakaran.

"Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk melindungi warisan semula jadi di samping mewujudkan peluang dalam pelancongan mampan, perkongsian pengetahuan dan pertumbuhan yang inklusif," kata Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Pemuliharaan SANParks, Howard Hendricks pada majlis menandatangani perjanjian itu.

Seorang pegawai kanan dari bandar Tai'an di Republik Rakyat China, Zhang Ying berkata usaha mengimbangi perlindungan alam sekitar dengan pembangunan mampan merupakan cabaran yang dihadapi kedua-dua pihak.

"Atas sebab itu, kami datang ke Cape Town untuk menandatangani perjanjian kerjasama dengan SANParks supaya kedua-dua pihak dapat memperkukuh kerjasama dalam bidang pelancongan, pemuliharaan warisan serta pertukaran budaya dan ekonomi," katanya. - ©BERNAMA