Desa Gala di Republik Rakyat China beralih daripada pembalakan kepada ekopelancongan

22 Jul 2026 - 9:00am

LINZHI (REPUBLIK RAKYAT CHINA), 21 Julai. - Desa Gala di Nyingchi, Wilayah Autonomi Xizang di barat daya Republik Rakyat China, telah berubah daripada sebuah komuniti yang bergantung kepada aktiviti pembalakan kepada destinasi ekopelancongan yang berkembang pesat.

Transformasi itu mencerminkan usaha Republik Rakyat China untuk membasmi kemiskinan di samping memelihara alam sekitar.

Ketua Desa Gala, Nimaduoji berkata 33 isi rumah di kampung itu sebelum ini bergantung kepada aktiviti pembalakan, sumber hutan dan hasil tanaman liar untuk pendapatan sebelum dasar perlindungan alam sekitar membuka peluang ekonomi baharu.

"Kawasan berpemandangan indah Taohuayuan kini menjadi industri utama di Desa Gala. Selain pelancongan, penduduk kampung turut menjana pendapatan daripada perkhidmatan pengangkutan, pertanian dan penternakan," katanya kepada wartawan antarabangsa semasa satu lawatan.

Nimaduoji berkata transformasi itu telah meningkatkan taraf hidup penduduk kampung secara signifikan sambil mempelbagaikan sumber pendapatan mereka.

Desa berkenaan adalah antara lokasi yang dilawati wartawan antarabangsa yang menyertai Program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC) 2026 semasa Forum Kerjasama Antarabangsa Trans-Himalaya Xizang China Ke-5, yang berlangsung dari 16 hingga 18 Julai.

Forum itu menghimpunkan pegawai kerajaan, ahli akademik, organisasi antarabangsa dan wakil media dari pelbagai negara untuk membincangkan kerjasama serantau serta pengalaman Xizang dalam mengimbangi pembangunan ekonomi, pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti.

Sementara itu, pemandu arah Dewan Desa Gala, Song Xuanbing berkata kejayaan transformasi itu adalah hasil daripada dasar-dasar kerajaan yang mempromosikan pemuliharaan alam sekitar dan menggalakkan penduduk kampung melihat sumber semula jadi dari sudut pandangan baharu.

"Pada masa lepas, penduduk menyara kehidupan dengan menebang pokok. Kini, hutan dilindungi dan digunakan secara mampan untuk pelancongan, sekali gus membolehkan penduduk kampung menjana pendapatan daripada ekonomi berasaskan eko," katanya.

Song berkata kerajaan turut meningkatkan kualiti pendidikan dan keadaan hidup di samping membantu penduduk kampung membangunkan sumber mata pencarian yang lebih mampan.

Beliau berkata kerajaan telah melabur lebih 30 juta yuan (RM18.13 juta) di kampung berkenaan bagi membangunkan projek seperti Dewan Pameran Pavilion Perpaduan dan menaik taraf Kawasan Berpemandangan Indah Peach Blossom Spring.

Pelaburan itu telah memperkukuh ekonomi kolektif kampung berkenaan, sekali gus membolehkan penduduk mendapat manfaat daripada pemuliharaan alam sekitar sambil meningkatkan taraf hidup mereka, katanya.

"Pada 2024, Desa Gala mencatatkan jumlah pendapatan ekonomi luar bandar sebanyak 14.02 juta yuan (RM8.47 juta) dan pendapatan ekonomi kolektif melebihi 7 juta yuan (RM4.23 juta), manakala pendapatan boleh guna per kapita mencecah 41,200 yuan (RM24,893)," katanya.

Kampung itu menerima lebih 120,000 pelawat tahun lepas, dengan musim kemuncaknya bermula dari awal Mac hingga pertengahan April. Purata pendapatan isi rumah mencapai kira-kira 100,000 yuan (RM60,420), manakala pendapatan boleh guna per kapita berada pada kira-kira 43,000 yuan (RM25,981). - ©BERNAMA