Berani Tawakal, Aduhai!

04/07/2016

CETUSAN MINDA


PADA 9 Mac 1986 penulis bertolak dari bumi tercinta Negara Brunei Darusalam ke Singapura sebelah tengah hari dengan penerbangan RBA, kelas ekonomi. Singgah di Singapura selama enam jam untuk meneruskan perjalanan ke Berlin Barat yang di bawah pemerintahan Jerman Barat. Ya, Berlin Barat yang amalkan sistem pemerintahan demokrasi. Ketika itu, Tembok Berlin masih lagi ada di sekeliling kota itu. Jadi kedudukan Berlin Barat ialah ibarat sebuah pulau di tengah bumi Jerman Timur, yang amalkan sistem pemerintahan sosialis dan komunis. (Perlu diingat bahawa Jerman Barat dan Jerman Timur bersatu semula pada Tahun 1990 dan pada tahun itu juga Tembok Berlin pun diruntuhkan).

Penulis pergi ke Berlin Barat bukan untuk makan angin. Bukan untuk santai libur. Ini tuntutan bagi meraih displin ilmu kewartawanan. Penulis mendalami bidang kewartawan di Berlin Barat, Jerman Barat. Nama institut kekal dengan panggilan Jermannya, iaitu 'Institut Fur Journalismus' singkatannya ialah IJJ. Maknanya ialah Institut Kewartawanan Antarabangsa. Mungkin juga satu-satu institut wartawan yang wujud di benua Eropah. Bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris, bukan bahasa Jerman.

Namun IJJ bukan satu institut untuk melahirkan wartawan baru. Ia lebih merupakan suatu seminar, suatu forum, suatu perjumpaan santai akademik bagi para pengamal media cetak, iaitu wartawan akhbar dan juga pengamal-pengamal yang bersangkut-paut dengan media baik yang berkhidmat dengan pihak awam mahupun swasta.

Ia banyak mendedahkan pengetahuan tentang sejarah bangsa Jerman, tentang politik dan budaya masyarakatnya. Pertembungan bangsa Jerman dengan budaya komunis dan Rusia yang melanda tanah seberangnya, iaitu Berlin Timur. Ini pengalaman baharu untuk penulis mengenali sejarah dan budaya bangsa Eropah, bukan setakat bangsa Inggeris dan empayar Inggeris.

Benar, sebelum ini penulis hanya mengetahui sejarah dan budaya bangsa Inggeris khususnya dan hanya sekubit bangsa Eropah lainnya, iaitu ketika jadi siswa di North East London University, London. Siswa jurusan displin ilmu pengurusan. Meskipun bangsa Inggeris dan bangsa Jerman ini dari benua Eropah tapi masing-masing punya perbezaan.

Kan halnya contoh yang paling mudah, seingat penulis ialah, orang atau bangsa Jerman tidak sebut 'London' sebagaimana orang Inggeris sebut, iaitu ('lan-den'). Orang Jerman sebut mengikut ejaan kota itu, iaitu ('lon-don'),
bukan ('lan-den'). Nah, ejaan Melayu juga mengikut sistem bunyi ia disebut, tetapi ejaan nama orang dan tempat dieja mengikut ejaan dalam bahasa asalnya atau yang dieja di pasportnya. Jadi kitani, ya orang Melayu, mengekalkan ejaan yang Inggeris guna bagi London, tetapi ia disebut sebagai yang Inggeris sebut, iaitu ('lan-den').

Dan teringat lagi penulis, bagi perkataan ('bas') contohnya, Melayu pinjam dari perkataan Inggeris yang ejaannya ialah ('bus'), tetapi Inggeris menyebutnya ('bas'). Melayu menggunakan sebutan yang digunakan Inggeris, iaitu ('bas'). Melayu menyesuaikan ejaannnya mengikut bunyi, iaitu ('bas') tidak ('bus'). Tetapi orang Jerman menyebutnya ('bus') bukan ('bas') seperti yang orang Inggeris sebut. Nah, itu perbezaan yang paling ketara.

Bangsa Jerman berbeza dengan bangsa Inggeris waima mereka adalah orang Eropah! Istilah yang kita guna pakai untuk bangsa Eropah ini dalam bahasa harian kitani ialah 'matsalih'. Tinggalkan dulu orang Inggeris, sahabat!.

IJJ ini ditaja bersama oleh Pihak Berkuasa Berlin Barat dan dibiaya sepenuhnya oleh syarikat penerbitan terbesar Jerman Barat. Syarikat ini memiliki rangkaian akhbar dan majalah serta stesen TV di seluruh Jerman Barat dan di Switzerland. Ketika itu Berlin dibahagi dua, iaitu Berlin Barat dan Berlin Timur. Ketika itu Jerman masih lagi terbahagi dua. Tembok Berlin masih lagi berdiri kukuh yang memisahkan corak pemerintahan demokrasi (Jerman Barat) dan pemerintahan sosialis atau komunis (Jerman Timur).

IJJ terletak di sebuah bangunan, berseberangan dengan bangunan percetakan akhbar bernama 'Berliner Morgenpost' Biasanya institut ini menawarkan seorang peserta dari negara-negara yang sedang membangun di Asia, Afrika dan Latin Amerika. IJJ terbuka kepada wartawan, pegawai perhubungan syarikat dan pegawai-pegawai kerajaan yang ada kaitan dengan media di negara masing-masing. Ketika penulis ikuti kuliah di IJJ, pelajarnya adalah berjumlah 32 orang. Aduhai, qada dan qadar setiap insan itu Allah yang menentukan. Penulis sendiri begitu teruja dan terkejut apabila terpilih untuk ikuti kursus wartawan di IJJ, Berlin Barat itu. Langsung tidak diduga. Alahai, tuah badan! Dan hendak ke Berlin Barat ini hanya seorang diri. Penulis anggap ini sebagai cabaran yang perlu ditempuhi dengan bertawakal. Ya, tawakal.

Di zaman kanak-kanak dulu langsung tidak terfikir penulis akan berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Jerman. Pun tidak menduga dapat jejak kaki ke negara-negara benua Eropah yang lain. Tidak juga menduga dapat lanjutkan pelajaran ke bumi England dan Scotland. Benarlah, tuah ayam dapat diteka dan dilihat. Tuah manusia hanya Allah Yang Maha Tahu. Qada dan qadar Allah yang menentukan. Kita usaha, doa, dan tawakal. Tunggu dulu.

Enam jam singgah di Singapura apa hendak buat. Beli buku dan santai dulu di tepi ruang ligar menghadap landasan kapal terbang. Memang jadi tabiat penulis ketika berada di lapangan terbang pasti akan mampir ke kedai buku, dan beli buku atau majalah. Maklumlah, sudah jadi kutu buku! Pesawat rasmi Jerman, iaitu Lufthansa bertolak sekitar jam 10 malam pada hari sama dari Singapura ke Frankfurt. Singgah di Bangkok, Bombay, Karachi dan Athens menurun dan mengambil penumpang dan mengisi minyak. Penulis pergi sendirian, dilepas begitu saja. Pandai-pandai sendiri! Tawakal. Hah, satu perjalanan jauh yang memakan masa berbelas jam. Terbit fajar 11 Mac baru sampai di Frankfurt. Dari Frankfurt penulis meneruskan penerbangan domestik ke Berlin Barat, tukar pesawat lain. Sekitar jam 10 pagi pada 11 Mac baru sampai di Berlin Barat. Masa dalam penerbangan itu penulis penuhkan masa dengan tidur dan membaca. Ya, membaca.

Kan halnya, sejak bujang penulis memang rajin membaca. Baca apa saja. Majalah, jurnal, komik, novel, cerpen dan pastinya suratkhabar. Sudah jadi rutin hidup harian, Jika tak baca dalam satu hari semacam tidak sah hidup. Aduhai, membaca itu dapat membuka minda kita. Menerjah fikiran untuk sentiasa segar bugar. Mahu tahu hal ehwal semasa. Dulu ada majalah gurau yang bernama 'Gila-Gila' dan majalah humor yang serupa dengannya. Bisai juga dibaca untuk jadi hiburan ringan dan santapan minda dari terus berfikir tentang masalah hidup dan kehidupan. Kita disaran untuk bertawakal!

Kita bertawakal pada Allah. Apa itu tawakal? Tawakal bermakna berserah kepada kehendak Tuhan, percaya dengan sepenuh hati kepada Tuhan dalam penderitaan, kesusahan dan lain-lain. Itu makna yang dihuraikan dalam buku Kamus Dewan. Itu makna cara fizikalnya.

Tapi kitani sebagai seorang Muslim memahami bahawa tawakal ialah ketika kita hanya percaya pada Allah ketika kita sedar bahawa tidak ada sesuatu yang terjadi kecuali atas kehendak Allah, dan apa pun yang terjadi, semuanya kerana kebijaksanaan Allah.

Tawakal ialah ketika kita menerima kehendak Allah dengan redha, tanpa merasa marah atau mempersoalkan tentang kehendak-Nya. Tawakal ialah ketika kita sedar bahawa Allah benar-benar telah memutuskan apa yang terbaik untuk kita. Tawakal ialah ketika kita beriman dan yakin seyakinyakinnya dengan segala keputusan yang diberikan Allah kepada kita.

Mudahnya, tawakal adalah ketika kita mengikatkan diri dan hati kita hanya kepada Allah, dan pasrah dngan takdir-Nya. Seseorang yang tawakal sedar bahawa tiada kekuatan untuk memperoleh kebaikan, atau menghindari perbuatan jahat, kecuali atas izin Allah, dan semua berkat dan bencana adalah akibat dari kehendak Allah.

Kita harus sedar bahawa tawakal yang benar tidak bererti meninggalkan perbuatanperbuatan yang diperlukan untuk meraih tujuan akhirat kita. Sebaliknya, tawakal yang benar adalah ketika kita berusaha keras, dengan segala jerih payah dan dengan cara-cara yang diperbolehkan, untuk meraih apa yang kita cita-citakan. Lalu kita menyedari dengan penuh kesedaran bahawa segala jerih payah kita itu tidak boleh tercapai jika Allah tidak menghendaki-Nya.

Tawakal yang benar itu tidak bermakna berleka-leka atau bersantai-santai sahaja dalam menunggu keputusan Allah, melainkan berjuang secara berterusan dan lutanan untuk mencapai segala keinginan yang kita cita-citakan. Dan setelah itu memulangkan segala hasilnya hanya kepada Allah. Tawakal yang benar adalah melakukan sesuatu yang diperlukan, dan menyerahkan kepada Allah segala keputusan hasilnya.

Mari kita, burung yang dijamin hidupnya sebagai contoh. Ya burung itu setiap hari meninggalkan sarangnya di pagi hari. Ia mengembara ke mana saja dan mencari makan setiap hari. Ia pergi dalam keadaan lapar. Dan setiap hari pula burung pulang di petang hari. Burung berhasil dalam pengembaraannya. Ia pulang dalam keadaan kenyang. Malah dapat pula membawa sisa makanan untuk anak-anaknya.

Subhaanallaah! Subhaanallaah! Subhaanaallah!

Tawakal memiliki kekuatan yang sangat hebat. Tepat sekali jika sang burung menjadi analog atas kehebatan tawakal itu. Betapa tidak, burung itu ternyata tidak bersantai-santai dalam sarangnya. Ia tidak membuang masa. Bagi sang burung, rezeki harus dijemput. Sang burung percaya rezeki tidak datang dengan sendirinya. Kerana itulah, sang burung berkelana di siang hari. Sang burung berkelana dengan menyerahkan hasilnya hanya kepada Allah, kerana ia tidak tahu berapa hasil yang akan dibawanya pulang nanti.

Kerana itulah ia mempersiapkan dirinya sendiri di pagi-pagi hari. Ia tinggalkan sarangnya yang selesa untuk mencari makanan. Dan subhaanallah, sang burung itu kembali ke sarangnya pada senja hari dengan perut yang kenyang. Dan dalam burung itulah sesungguhnya terdapat pelajaran berkaitan tawakal.

Dan dengan bertawakal juga penulis tiba menjejakkan ke bumi Berlin Barat pada pagi 11 Mac 1986. Sudah ada seorang petugas IJJ menunggu di lapangan terbang Berlin. Angkat kertas A4 yang tercatat nama 'Latip' dan di bawahnya nama tanah air, iaitu 'Brunei'. Lantas penulis perkenalkan diri dan petugas IJJ itu terus membawa penulis menaiki kereta salon ke tempat penginapan sebaik-baik sahaja bagasi di simpan dalam bonet kereta. Tidak sampai 20 minit perjalanan, tiba di tempat penginapan, iaitu apartment empat tingkat yang dijadikan asrama. Penulis terus dibawa ke bilik tingkat empat, dan kunci bilik pun diserahkan oleh petugas IJJ itu kepada penulis.

Dua jam selepas kedatangan penulis ke bilik penginapan, wartawan dari Myanmar dan Thailand tiba. Di asrama sudah datang beberapa orang wartawan dan pengamal media yang lain. Wartawan dari Paraguay, Kenya, Jamaica sehari lebih awal sampai di Berlin Barat. Sebelah petang pada hari yang sama tiba pula peserta dari India, Nepal dan Pakistan yang menghantar dua orang peserta. Esok hari pula sampai wartawan dari Malaysia, Indonesia dan Filipina, ini diikuti dengan kedatangan perserta dari China dan Hong Kong.

Penulis tidak kesunyian. Apartment itu sudah banyak penghuninya. Kami semuanya berjumlah 22 orang yang akan mengikuti kuliah kursus di IJJ itu. Masing-masing diberikan satu bilik yang punya bilik dapur sendiri. Setiap bilik di asrama itu disediakan dapur, periuk, pinggan, gelas, sudu, garfu dan mangkuk ala kadar. Sungguh suatu rahmat. Kenapa? Tidak juah dari asrama itu terdapat beberapa buah kedai runcit yang menjual barangan makanan asas. Aduhai, akal pun cepat berkira-kira. Pun penulis lantas teringat ketika waktu bujang tinggal di rumah persinggahan di Bangar, Temburong pada akhir tahun 1968-an. Masak sendiri. Dan masak sendiri dibuat di sini.

Pada hari pertama berada di kelas IJJ semua memperkenalkan diri masing-masing. Sebenarnya kami semua sudah saling berkenalan ketika sampai di apartment. Perkenalan di kelas ala kadar saja untuk pengetahuan para pengajar. Lepas itu kami dipandu menggunakan kereta api bawah tanah atau trend yang dipanggil U-Bahn. Dari tempat kursus IJJ ke apartment tidak sampai 15 minit numpang U-Bahn. Jika jalan kaki, ikut jalan pintas boleh juga tetapi lebih 30 minit.

Kan halnya, pada hari Ahad adalah hari libur. Tinggal sendirian di bilik cukup membosankan. Lalu petugas IJJ bawa kami semua ke Berlin Timur, blok komunis. Ini salah satu modul pembelajaran. Kami disediakan dengan pemandu pelancong, entah apa warga negaranya. Yang pasti, pemandu pelancong itu fasih berbahasa Inggeris, Jerman dan Rusia. Dia tidak banyak bercakap. Apa yang kami tanya, itu yang dijawab. Tidak lama kami berada di Jerman Timur, itu pun cuma di satu kawasan khusus untuk para pelancong dari blok Barat.

Jadi kami hanya tersenyum dari jauh, dan paling-paling lambai tangan. Itu pun cuma sebentar. Tawakal ya tawakal, aduhai!

Attachments