Bendera CDC berkibar di Piala Dunia FIFG 2023

31/05/2023

KUALA LUMPUR, 31 Mei. - Commerce Dot Com Sdn. Bhd. (CDC) berbangga dengan petugas syarikat itu, Ahmad Afzal Mohd Shahar, yang mewakili pasukan footgolf Malaysia bertanding di Piala Dunia Persekutuan FootGolf Antarabangsa (FIFG) 2023 di Orlando, Florida, bermula 27 Mei hingga 6 Jun ini.

 

CDC dalam kenyataan berkata Ahmad Afzal, 39, yang berada pada kedudukan ke-40 ranking dunia, merupakan Eksekutif Kanan di Bahagian Korporat CDC dan mengambil bahagian dalam kategori individu lelaki dan berpasukan lelaki, dengan perlawanan pertama bermula pada Isnin (29 Mei).

 

“Seiring dengan budaya ketahanan dan mentaliti menang CDC, kami percaya Afzal dan pasukan Malaysia akan berjuang untuk kejayaan dan membanggakan kita semua," menurut kenyataan itu.

 

CDC berkata majlis pelepasan khas untuk Ahmad Afzal telah diadakan di Wisma Commercedotcom, Petaling Jaya, pada 18 Mei.

 

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Eksekutif CDC Syed Azmin Syed Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Muzafar Kamal Shahaluddin.

 

CDC berkata syarikat itu akan melaporkan perkembangan pasukan Malaysia sepanjang kejohanan tersebut menerusi laman Instagram @commercedotcomm.

 

Edisi keempat FIFG menjadi edisi dengan penyertaan terbesar melibatkan 40 negara yang berentap dalam tiga kategori (Lelaki, Senior dan Wanita) dalam dua format berbeza (Perlawanan Individu dan Berpasukan).

 

Pasukan footgolf Malaysia dibarisi 21 pemain termasuk bekas pemain bola sepak negara, Shahril Arsat dan kapten pasukan bola sepak wanita kebangsaan, Steffi Sidhu.

 

CDC, penyedia perkhidmatan e-dagang untuk syarikat dan kerajaan menjalankan perniagaan secara elektronik, berkata syarikat itu telah lama menyokong program-program dan inisiatif sukan pada peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

Antaranya termasuk CDC Golf Scramble Tournament 2015, Shell Eco-Marathon Challenge 2017 dan  Everest Base Camp Expedition 2019.

 

“Sokongan kami pada kolaborasi sukan khusus adalah selari dengan visi dan nilai keusahawanan dalaman, komitmen, melakukan yang betul dan kolaborasi (iCDC).

 

“Sukan adalah penyatu yang merangsang semangat persaingan yang akan diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti dalam kalangan pekerja," menurut kenyataan itu. - ©BERNAMA

​ 


Attachments