Sibur Rusia beralih sepenuhnya guna yuan untuk transaksi dengan China pada 2022

31/05/2023

MOSCOW, 31 Mei. - Sibur, syarikat petrokimia Rusia bertukar sepenuhnya kepada mata wang yuan untuk transaksi dengan China pada 2022 dan mula berdagang dalam mata wang tempatan dengan beberapa negara lain, Pavel Lyakhovich, Ketua Bahagian Plastik dan Produk Sintesis Organik Sibur, memberitahu Sputnik.

 

“Kami berdagang dalam dong dengan Vietnam, di China (kami) bertukar sepenuhnya kepada yuan tahun lepas. Kami berdagang dalam lira di Turkiye dan kami juga akan mencuba mata wang negara lain," katanya.

 

Lyakhovich berkata syarikat itu berminat dalam perniagaan polimer di Utara dan sebahagian Afrika Barat dari segi logistik, tetapi tidak di Afrika Timur, kerana pengeluar polimer Arab Saudi lebih dekat dengan bahagian benua ini dan sukar untuk bersaing dengan mereka di sana.

 

Sementara itu, Sibur telah mula menjual 'sedikit' plastik polimer di Bangladesh, Myanmar, Indonesia, dan Malaysia, namun, kos pengangkutan sukar dijangkakan pada masa ini, namun syarikat itu berharap ia akan menjadi lebih mudah untuk menyelesaikan masalah apabila semakin lama ia berada di pasaran, katanya.

 

Selain itu, Lyakhovich berkata India boleh menjadi antara pasaran sasaran selepas Sibur melancarkan Kompleks Kimia Gas Amurnya. Bekalan dalam jumlah yang kecil mula dihantar ke sana, manakala kapal pertama produk syarikat itu belayar ke India pada Februari.

 

Pada September, Ketua Pegawai Eksekutif Sibur, Mikhail Karisalov berkata syarikat itu sedang berusaha untuk memulakan penyelesaian dengan Vietnam dalam dong.

 

Sibur ialah syarikat petrokimia terbesar di Rusia yang memproses hasil sampingan pengeluaran minyak dan gas menjadi plastik, getah dan bahan sintetik lain. Produknya digunakan dalam barangan pengguna, kereta, pembinaan, dan tenaga, serta dalam industri kimia dan lain-lain. - ©BERNAMA-SPUTNIK​


Attachments