Jentera pelancar udara Korea Utara jatuh ke Laut Kuning

31/05/2023

SEOUL, 31 Mei. - Korea Utara menembak apa yang didakwanya sebagai "jentera pelancar angkasa lepas" ke arah selatan pada Rabu, namun jatuh ke Laut Kuning selepas penerbangan "tidak normal", kata tentera Korea Selatan.

 

Korea Utara yang mengesahkan kegagalan itu berkata roket baharunya "Chollima-1" yang membawa satelit peninjau ketenteraan "Malligyong-1," jatuh ke laut ekoran "penghidupan enjin peringkat kedua yang tidak normal," lapor Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan rasmi Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

 

Korea Utara merancang menjalankan pelancaran kedua secepat mungkin.

 

Ketua Staf Bersama (JCS) Seoul berkata ia mengesan pelancaran dari Tongchang-ri di pantai barat Utara pada 6.29 pagi dan peluru itu jatuh ke perairan kira-kira 200 kilometer ke barat pulau Eocheong selepas penerbangannya melintasi perairan pulau sempadan Baengnyeong.

 

Awal minggu ini, Korea Utara memaklumkan kepada Jepun dan Pertubuhan Maritim Antarabangsa mengenai rancangannya untuk melancarkan satelit antara 31 Mei dan 11 Jun walaupun terdapat kritikan bahawa tindakan itu akan melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang melarang sebarang pelancaran menggunakan teknologi peluru berpandu balistik.

 

Rejim itu kali terakhir melancarkan roket yang membawa apa yang dipanggil satelit "Kwangmyongsong-4" pada Februari 2016.

 

Amerika Syarikat mengecam pelancaran itu dan Presiden Joe Biden serta pasukan keselamatan sedang menilai situasi bersama sekutu dan rakan kongsinya.

 

Pelancaran roket itu merupakan provokasi pertama Utara sejak ia melancarkan apa yang didakwanya sebagai peluru berpandu balistik antara benua Hwasong-18 pada 13 April.

 

Sebelum ini, Korea Utara melancarkan apa yang dipanggil roket pembawa satelit lima kali -- masing-masing satu pada 1998, 2009 dan 2016, dan dua kali pada 2012.

 

Korea Utara mendakwa telah meletakkan satelit ke orbit selepas pelancarannya pada Disember 2012 dan 2016 namun masih belum diketahui sama ada ia telah berfungsi secara normal. - © BERNAMA-YONHAP​


Attachments