Jet China terbang agresif depan pesawat AS di laut China Selatan

31/05/2023

WASHINGTON, 31 Mei. - Sebuah jet pejuang J-16 China melakukan "gerakan agresif yang tidak perlu" semasa memintas pesawat peninjau RC-135 Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) di Laut China Selatan minggu lepas, kata Markas Indo-Pasifik AS pada Selasa.

 

Insiden itu berlaku pada Jumaat, menurut Agensi Anadolu memetik kenyataan daripada markas berkenaan.

 

"Juruterbang PRC terbang terus di hadapan muncung RC-135 yang sedang menjalankan operasi selamat dan rutin di Laut China Selatan di ruang udara antarabangsa mengikut undang-undang antarabangsa," menurut kenyataan itu.

 

Menurut markas itu, AS akan "terus terbang, belayar dan beroperasi - dengan selamat dan bertanggungjawab - di mana sahaja undang-undang antarabangsa membenarkannya."

 

"Pasukan Bersama Indo-Pasifik AS akan terus terbang di ruang udara antarabangsa dengan mengambil kira keselamatan semua kapal dan pesawat mengikut undang-undang antarabangsa," menurut kenyataan itu. - ©BERNAMA​


Attachments