Thailand: Gabungan pimpinan parti Move Forward tubuh jawatankuasa peralihan

31/05/2023

BANGKOK, 31 Mei. - Gabungan pimpinan Parti Move Forward Thailand menubuhkan jawatankuasa peralihan sebagai persiapan untuk membentuk kerajaan baharu selepas kemenangan besar dalam pilihan raya 14 Mei.

 

Pemimpin Move Forward dan calon perdana menteri gabungan itu, Pita Limjaroenrat berkata wakil parti gabungan itu akan bersidang setiap minggu sehingga mereka secara rasmi mengambil alih kuasa.

 

"Kerja kami berjalan lancar dan kami komited untuk bekerjasama dalam menyelesaikan masalah rakyat sebaik mungkin," katanya pada Selasa.

 

Beliau berkata pembahagian jawatan kabinet akan ditangani kemudian.

 

Sementara itu, gabungan lapan parti tersebut juga mencapai persetujuan untuk membentuk tujuh kumpulan kerja yang bertujuan untuk menangani pelbagai isu termasuk elektrik, diesel dan harga tenaga, kemarau dan El Nino, pindaan perlembagaan, kebimbangan alam sekitar dan pencemaran PM2.5, ekonomi dan PKS serta isu berkaitan dadah.

 

Kumpulan kerja akan mengadakan mesyuarat tetap untuk memberikan maklumat terkini kepada jawatankuasa peralihan.

Mengenai kedudukan speaker dewan yang bertelagah secara terbuka dengan Move Forward dan Pheu Thai, Pita berkata ia akan diselesaikan secepat mungkin.

 

Move Forward memenangi 151 daripada 500 kerusi Dewan Perwakilan pada pilihan raya 14 Mei manakala Pheu Thai, yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Thailand yang dibuang negeri Thaksin Shinawatra, memenangi 141 kerusi.

 

Kedua-duanya bersetuju untuk membentuk gabungan bersama enam parti - Prachachat, Thai Sang Thai, Pue Thai Rumphlang, Thai Liberal Party, Fair Party dan Plung Sungkom Mai.

 

Gabungan itu dibentuk dengan 313 daripada 500 kerusi dewan perwakilan rakyat dengan 400 kerusi yang dimenangi calon kawasan pilihan raya manakala 100 kerusi parti diperuntukkan secara perwakilan berkadar.

 

Pita memerlukan 64 undi lagi bagi memastikan beliau dilantik sebagai perdana menteri akan datang. Sejumlah 250 senator yang dipilih oleh kerajaan terdahulu juga akan memutuskan perdana menteri baharu.

 

Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai masa sehingga 13 Julai untuk mengesahkan secara rasmi keputusan pilihan raya yang membolehkan persidangan pertama parlimen diadakan dan pemilihan perdana menteri. - ©BERNAMA


Attachments