Neuralink Elon Musk peroleh kelulusan FDA untuk ujian klinikal

26/05/2023

LOS ANGELES, 26 Mei. - Syarikat antara muka mesin otak Elon Musk, Neuralink, pada Jumaat mengumumkan telah memperoleh kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) Amerika Syarikat (AS) untuk menjalankan kajian klinikal pertamanya ke atas manusia, lapor Xinhua.

 

"Ini adalah hasil kerja luar biasa oleh pasukan Neuralink dengan kerjasama rapat FDA dan merupakan langkah pertama yang penting yang suatu hari nanti akan membolehkan teknologi kami membantu ramai orang," menurut Twitter syarikat itu.

 

Neuralink berkata pengambilan calon untuk percubaan klinikal itu belum lagi dibuka.

 

FDA belum mengulas mengenai percubaan itu dan tahap percubaan yang diluluskan belum diketahui.

 

Neuralink diasaskan pada 2016 dan dibiayai sebahagian besarnya oleh Musk.

 

Syarikat itu mendakwa bahawa pemasangan cip dalam tengkorak manusia boleh memulihkan fungsi anggota badan, meningkatkan pergerakan manusia, menyelesaikan masalah penglihatan dan pendengaran selain membantu mereka yang menghidap penyakit seperti Parkinson. - ©BERNAMA​


Attachments