Steinbruckner puas hati TFC mara ke separuh akhir Piala FA

28/05/2023

KUALA NERUS, 28 Mei. - Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner melahirkan rasa gembira dan berpuas hati selepas skuadnya berjaya melangkah ke separuh akhir Piala FA untuk tiga musim berturut-turut.

 

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata pujian perlu diberikan kepada anak buahnya yang bermain bermati-matian untuk menghadiahkan kemenangan kepada lebih 5,000 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan penuh dramatik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

 

Beliau berkata walaupun kemenangan TFC menentang Kelantan FC sudah diramal banyak pihak, tugas itu bukan mudah kerana pasukannya dipaksa beraksi buat kali pertama pada sebelah petang dalam keadaan cuaca panas melampau.

 

"Sudah tentu saya gembira dan berpuas hati kerana kami menang dan akan mara ke pusingan seterusnya. Tahniah kepada pemain kerana kita berjaya capai sasaran.

 

"Kami bermain pada waktu petang buat kali pertama …. Ia bukan mudah namun kita pasukan yang bagus dan kita layak (menang)," katanya selepas perlawanan menentang The Red Warriors di SSMZA semalam.

 

TFC yang juga finalis Piala FA tahun lepas mara ke peringkat separuh akhir Piala FA selepas menundukkan Kelantan FC 4-2 hasil jaringan Azam Azmi Murad, Sony Norde, Ivan Mamut dan Syafiq Ismail.

 

Keputusan itu membolehkan TFC hanya selangkah untuk mengulangi pencapaian tahun lepas layak ke perlawanan akhir dengan pemenang antara Sabah dan KL City FC menanti Sang Penyu pada separuh akhir.

 

Sementara itu, pengendali Kelantan FC Frank Berhardt menyifatkan kesilapan pemain menyebabkan pasukannya terpaksa pulang dengan tangan kosong.

 

Bagaimanapun, beliau mahu anak buahnya melupakan kekecewaan itu dan fokus kepada saingan Liga Super menentang pasukan PDRM FC akan datang.- ©BERNAMA


Attachments