Maghribi mara ke suku akhir Piala Dunia

07/12/2022


ISTANBUL, 7 Dis. - Maghribi layak ke suku akhir Piala Dunia FIFA 2022 selepas menewaskan Sepanyol 3-0 menerusi penentuan sepakan penalti pada Selasa, lapor Agensi Anadolu (AA).

 

Kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan sepanjang 45 minit pertama perlawanan di Stadium Education City Doha.

 

Walaupun beberapa gerakan oleh kedua-dua pasukan dilakukan pada separuh masa kedua, ternyata  gagal menghasilkan sebarang gol, mengheret perlawanan bersambung ke masa tambahan.

 

Keputusan masa tambahan dalam perlawanan Pusingan 16 berkesudahan seri tanpa jaringan sehingga wisel penamat, memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.

 

Pemain Maghribi Abdelhamid Sabiri, Hakim Ziyech dan Achraf Hakimi berhasil menyudahkan sepakan penalti sekali gus membolehkan pasukannya memenangi perlawanan.

 

Pasukan Sepanyol terpaksa melupakan hasrat melangkah ke suku akhir selepas Pablo Sarabia, Carlos Soler dan Sergio Busquets gagal menyempurnakan sepakan penalti. - ©BERNAMA



Attachments