Vietnam anjur Pameran Pertama Penyumberan Global pada April 2023

07/12/2022


HO CHI MINH CITY, 7 Dis. - Pameran Penyumberan Global Vietnam yang julung kali diadakan pada April akan berperanan sebagai jambatan perdagangan langsung untuk pembeli dan pembekal memproleh bekalan produk dari Vietnam dan Asia Tenggara.


Berlangsung dari 26 hingga 28 April tahun depan, pameran itu menyediakan 500 ruang pameran dan dijangka menarik lebih 6,000 pembeli termasuk dari Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Asia.


Agensi Berita Vietnam (VNA) melaporkan pameran yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Saigon (SECC) di Ho Chi Minh City itu, anjuran Syarikat Pengiklanan dan Pameran Perdagangan Kebangsaan Vietnam (Vinexad) di bawah Kementerian Industri dan Perdagangan serta Sumber Global yang berpangkalan di Hong Kong.


Timbalan Ketua Pengarah Vinexad Pham Dang Khanh berharap pelawat akan memperoleh produk baharu dan popular dalam industri utama di Vietnam termasuk perkakasan rumah, perabot, hadiah, kraftangan, fesyen, aksesori, tekstil dan aksesori fesyen.


Beliau berkata pembekal yang menyertai pameran itu kebanyakannya mempunyai kelayakan untuk mengeksport barangan.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Source Hu Wei berkata Vietnam yang menjadi antara destinasi penting dan strategik untuk bekalan, kini semakin berkembang menjadi pusat pembuatan utama yang menarik perniagaan antarabangsa mencari bekalan barangan.


Global Sourcing Fair Vietnam dijadual menjadi acara tahunan, kata beliau. - ©BERNAMA



Attachments