ASEAN lancar pelan tindakan serantau bagi galakkan keselamatan wanita

06/12/2022


JAKARTA, 6 Dis. - ASEAN melancarkan Pelan Tindakan Serantau Mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan (ASEAN RPA mengenai WPS) bagi memenuhi visinya untuk mencapai kesaksamaan gender, kata Menteri Hal Ehwal Wanita Kemboja Dr Ing Kantha Phavi.

 

Rancangan itu bertujuan menggalakkan penyertaan wanita dalam misi keamanan dan keselamatan, pencegahan konflik, pembinaan kehormonian, mencegah ekstremisme dan menangani risiko keselamatan seperti bencana dan wabak di rantau ini.

 

"ASEAN komited untuk terus memajukan agenda WPS manakala ASEAN RPA mengenai WPS akan membimbing kita ke arah itu," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pelan yang disokong Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) dan Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat penting supaya dapat merealisasikan matlamat sebagai komuniti yang inklusif dan berpaksikan rakyat di rantau ini.

 

Ia juga satu langkah untuk memastikan 10 negara anggota mengiktiraf dan memanfaatkan penyertaan dan kepimpinan wanita dalam mencegah konflik serta membina dan mengekalkan keamanan di rantau ini.

 

Usaha sebelum ini termasuk Pernyataan Bersama mengenai Mempromosikan Wanita, Keamanan dan Keselamatan pada 2017, pelancaran Pendaftaran Wanita ASEAN untuk Keamanan pada 2018 dan Kajian Serantau ASEAN mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan pada 2021.- ©BERNAMA



Attachments