Libya gesa syarikat minyak, gas sambung semula operasi

06/12/2022


TRIPOLI (Libya), 6 Dis. - Kerajaan Perpaduan Libya pada Isnin mengumumkan bahawa pihaknya telah menarik balik force majeure terhadap penerokaan minyak dan gas, lapor Agensi Anadolu.


Kerajaan menerusi satu kenyataan menggesa syarikat minyak antarabangsa yang mempunyai kontrak dengan Perbadanan Minyak Nasional Libya untuk meneruskan operasi di negara itu.


Kerajaan bersedia untuk memberi sokongan yang diperlukan dalam hal ini dan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, menurut kenyataan itu.


Keputusan untuk menarik balik force majeure itu diambil selepas analisis mengenai keadaan keselamatan di Libya dilakukan.


Ia menambah bahawa negara akan meneruskan aliran minyak, yang merupakan sumber asli utama negara, ke pasaran global.


Perbadanan Minyak Nasional mengisytiharkan force majeure untuk aktiviti cari gali minyak dan gas pada 24 Nov disebabkan situasi keselamatan di negara itu.


Libya dikecualikan daripada keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum serta negara pengeluar bukan OPEC yang diketuai oleh Rusia, atau OPEC+ untuk mengurangkan pengeluaran minyak harian sebanyak dua juta tong hingga 2023. - ©BERNAMA



Attachments