ANKARA, 6 Dis. - Perdana Menteri Australia pada Isnin meminta kerajaan negeri yang memiliki pasaran eksport arang batu terbesar di negara itu untuk menetapkan 'harga siling' dalam usaha mengurangkan kenaikan harga bahan api itu.
Menjelang mesyuarat Kabinet Rabu ini, Anthony Albanese berkata penetapan harga siling terhadap arang batu dan gas mungkin bermakna membayar pampasan kepada pengeluar, lapor Agensi Anadolu memetik akhbar Sydney Morning Herald.
Bercakap kepada radio Adelaide, beliau menegaskan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk campur tangan dalam pasaran gas dan arang batu bagi menurunkan harga elektrik dan tidak mengganggu pasaran.
Negeri-negeri New South Wales, Queensland dan Australia Selatan menentang cadangan ini, menuntut kerajaan memberi jaminan bahawa dasar penetapan harga siling tidak akan berlaku.
Albanese berjanji untuk membincangkan isu pampasan dengan pemimpin negeri sebelum mesyuarat Kabinet.
Menurut pegawai kanan kerajaan, tiada keputusan dibuat mengenai isu itu, dan kerajaan masih belum mempertimbangkan untuk mengadakan persidangan parlimen sebelum 2023 bagi meluluskan undang-undang yang diperlukan demi melaksanakan perubahan itu.
Menurut data kerajaan, Australia mempunyai pasaran eksport arang batu kedua terbesar di dunia. - ©BERNAMA